Muhyiddin tidak boleh merayu keputusan kes rasuah – Pendakwaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan perintah membebaskannya daripada empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata ia adalah kerana kes rasuah terbabit bermula di Mahkamah Sesyen dan masih kekal di mahkamah sama selepas Mahkamah Rayuan memerintahkan ia dikembalikan semula (ke mahkamah sesyen) untuk tindakan lanjut.

Katanya rayuan terakhir bagi kes di Mahkamah Sesyen adalah di Mahkamah Rayuan sahaja mengikut Seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Sehubungan itu, Wan Shaharuddin berkata, pendakwaan akan membantah permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding kes rasuah terbabit sehingga rayuan didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan pihaknya sudah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan itu dan akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes rasuah terbabit.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan pada 3 April ini bagi sebutan kes.

Muhyiddin merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Februari lalu, yang membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan beliau.

Melalui keputusan sebulat suara itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan kemudian mengarahkan kes berkenaan dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel itu berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf daripada segi undang-undang apabila memutuskan empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan sebarang kesalahan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi BERSATU, selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Beliau juga berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat