Syarikat pengeluar barangan kelengkapan solat, Siti Khadijah telah menjalinkan kerjasama dengan Amal by Malaysia Airlines untuk mengagihkan barangan Siti khadijah serta kit perjalanan Amal (travel kit) kepada 284 jemaah Haji KT05 di Dewan Mentari, Movenpick pada jumaat lepas.
Sumbangan amal itu berupa kelengkapan dan keperluan ibadah haji sebagai tanda buah tangan kepada pada jemaah yang berangkat untuk ibadah Haji di tanah suci. KT05 merupakan kumpulan pertama yang menaiki Amal by Malaysia Airlines yang melalui proses daftar masuk di Kompleks Tabung Haji Sepang untuk penerbangan terus ke Madinah
Menurut ketua Pegawai Komersial Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Muhaimin Aminuddin mengatakan kerjasama bersama Amal adalah untuk membantu memberikan keselesaan para jemaah Haji dan Umrah kususnya.
“Perancangan dan usaha untuk bekerjasama bersama Amal mengambil masa lebih daripada setahun dan Alhamdulillah hari ini kami dapat peluang untuk sama-sama meraikan jemaah Haji. Kami mahu memberikan keselesaan kepada jemaah Haji dan Umrah dalam mengerjakan ibadah.
“Apa yang istimewa, kami sumbangkan barangan Siti Khadijah bernilai RM200 yang berupa barangan kelengkapan solat untuk lelaki dan wanita sewaktu di Tanah Suci nanti,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, kerjasama ini diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih besar di masa akan datang.
Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor ketika ditemui berkata, jalinan kerjasama antara Amal dan Siti Khadijah amat bermakna kerana kedua-dua pihak mempunyai visi dan nilai yang sama iaitu memberi keselesaan dan kemudahan kepada jemaah beribadah dan juga untuk menarik lebih ramai menunaikan Umrah dan Haji.
Sementara itu, semua penerbangan Amal ke Tanah Suci adalah termasuk penyediaan perkhidmatan seperti talbiah, doa musafir, azan dan tazkirah serta pengumuman miqat.
Turut menyerikan majlis, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengasas Jenama Telekung Siti Khadijah, Puan Padzilah Enda Sulaiman.
Jenama Siti Khadijah juga bakal memberi fokus kepada barangan lelaki dengan misi menyediakan kelengkapan solat dan pakaian harian yang selesa.
Perancangan Siti Khadijah pada tahun ini ialah untuk kembangkan kepada barangan lelaki seperti kain pelikat, jubah, kurta dan kopiah. Malah setiap barangan terdiri daripada pelbagai jenis dan harga mengikut kualiti dan premium.