Oleh: Zihan Zari
SUNGAI PETANI – Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda digerakkan bagi membantu mangsa banjir di sini, melibatkan 3 keluarga dari Kg. Jerung, Mukim Sidam Kiri dan 3 keluarga dari Kg. Hj. Wahab dari Mukim Sungai Petani.
Pegawai APM Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Hj. Ahmad berkata, hujan lebat pada pagi Sabtu, mengakibatkan beberapa kawasan rendah dilanda banjir kilat di kedua-dua kawasan terlibat.
Azahar berkata, limpahan air secara mengejut itu menyebabkan kediaman penduduk dan beberapa laluan dinaiki air hampir 0.3 meter.
Terdapat kerosakan harta benda mangsa namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan banjir kilat ini.
“Penduduk terlibat telah dinasihatkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Al-Huda sekiranya keadaan semakin buruk.
Namun, tiada penduduk dipindahkan setakat ini, kerana keadaan masih terkawal dan status semasa air di kedua-dua semakin menurun, ”katanya lagi. – Suara.TV