BAKRI – Pulau Pinang disyor untuk mencontohi Kelantan untuk meneroka sumber air bawah tanah susulan Perak membuat keputusan tidak membekalkan air mentah ke negeri itu menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya Pulau Pinang meneroka beberapa alternatif sumber air lain termasuk sumber air bawah tanah.

“Pulau pinang sebenarnya masih lagi boleh meneroka beberapa sumber lain termasuk sumber air bawah tanah.

“Kelantan antara negeri yang besar menggunakan sumber air bawah tanah mungkin Pulau Pinang juga banyak lagi ruang yang boleh teroka. Salah satu sumber alternatifnya ialah air bawah tanah,” katanya pada sidang media malam tadi.

Tambah beliau lagi, Pulau Pinang masih ada beberapa alternatif, negeri itu ada rizab paling tinggi di Malaysia, ada 30 peratus rizab margin dia berbanding negeri lain, ada sesetengah negeri itu kosong.

“Empangan Mengkuang itu masih lagi sekali sekala digunakan sebagai ‘back up’ kepada sumber air di Pulau Pinang.

“… dan ke depan kita ada beberapa perancangan termasuklah membina takungan air pinggiran sungai bagi memastikan bahawa keperluan rakyat Pulau Pinang sentiasa dapat air sebab air ini keperluan tanpa kira parti, tak kira bangsa,” katanya

Tuan Ibrahim memberitahu, kerajaan Persekutuan sentiasa mencari alternatif bagi membantu Pulau Pinang.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kerajaan negeri itu muktamad dalam keputusan tidak membekalkan air mentah kepada kepada kerajaan Pulau Pinang.

Jelasnya, ketetapan itu dibuat hasil perbincangan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, serta delegasinya di Pejabat Menteri Besar Perak dua hari lalu.

Selain mengenangkan keperluan domestik penduduk, Saarani berkata, keputusan itu turut mengambil kira beberapa kajian berhubung impak pengaliran keluar air dari Sungai Perak terhadap prestasi empangan janakuasa elektrik serta kegunaan sektor perkilangan.

Katanya, keputusan itu sejajar dengan pendirian kepemimpinan sebelum ini yang menyatakan kerajaan Perak sedia membantu namun tertakluk kepada kecukupan penggunaan air dalam terlebih dahulu.

“Kalau cukup barulah (air) yang lebih itu kita boleh hantar ke Pulau Pinang tetapi berdasarkan kajian, air untuk kegunaan Perak pun tidak sepenuhnya mencukupi, terutamanya apabila populasi diunjur bertambah kepada tiga juta menjelang 2050.

“Kedatangan semakin banyak pelabur membuka kilang di Perak turut menuntut penggunaan air yang tinggi, malah sudah ada pengilang terpaksa mendapatkan sendiri sebahagian besar bekalan air seperti dari tasik dan lombong.

“Penyedutan air dari Sungai Perak kelak boleh menyebabkan empat empangan sungai terjejas dari segi prestasi penjanaan kuasa elektrik.

“Aspek itu bergantung sepenuhnya kepada paras air dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah pasti tidak bersetuju,” katanya.

Saarani berkata, empangan Tasik Bukit Merah di daerah Kerian yang mengalami penurunan paras air ke tahap kritikal hingga memaksa langkah pembenihan awan baru-baru ini, menunjukkan Perak turut berdepan masalah bekalan air.

Katanya, Pulau Pinang mencadangkan air yang ingin disedut adalah selepas kawasan empat empangan di Sungai Perak iaitu melepasi Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar, namun ia tetap mendapatkan kesan.

“Mengikut kajian, jika air disedut di bawah Empangan Chenderoh, penduduk di kawasan selepasnya seperti Parit, Kampung Gajah hingga ke Teluk Intan akan menghadapi masalah bekalan air.

“Kita bersimpati dengan masalah dihadapi Pulau Pinang mengenai isu air namun maaf, Perak tidak dapat membantu (menjual air mentah),” katanya.

Sebelum ini, Kon Yeow dilaporkan berkata, Pulau Pinang akan berbincang dengan kerajaan Perak berhubung hasrat membeli air mentah menerusi projek SPRWTS.