Menteri Luar Enggan Dedah Punca Tamat Kontrak Ahmad Idham, Eizlan

BAKRI – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah enggan mendedahkan sebab mengapa pihaknya menamatkan perkhidmatan pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Datuk Seri Eizlan Yusof dalam kementerian berkenaan.

Saifuddin sebaliknya berkata, pada kebiasaannya di dalam kontrak, penamatan perkhidmatan itu lazim berlaku.

“Saya tak boleh nak sebut. Biasanya dalam kontrak ini lazim berlaku dalam mana-mana kontrak.

“Kalau kita rasa perlu tamatkan, kita perlu tamatkan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Turut sama dalam sidang akhbar terbabit adalah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum ini Sinar Daily melaporkan bahawa perkhidmatan kedua-dua individu terbabit ditamatkan oleh Kementerian Luar.

Tanpa menyebut secara spesifik tarikh kontrak ditamatkan, difahamkan ia berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ahmad Idham dilantik sebagai setiausaha kebudayaan manakala Eizlan dilantik sebagai penasihat kreatif pada 1 November tahun lepas.

Sebelum pelantikan berkenaan, Ahmad Idham adalah ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).