BAKRI – Jalinan kerjasama antara PAS dan UMNO dalam ikatan Muafakat Nasional (MN) belum ada kubur namun, ia sudah tidak ‘berjalan’ memandangkan tidak ada parti yang mengisytiharkan penamatan hubungan itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan secara prinsipnya MN walaupun tidak nampak hidup, tetapi ia belum mati lagi.

Pun begitu katanya, mesyuarat jawatankuasa induk Muafakat Nasional sudah beberapa bulan tidak dijalankan.

“Muafakat Nasional ini  belum ada kubur, belum ada batu nisan dan tiada siapa mengisytiharkan MN ditamatkan.
 
“Jadi secara prinsipnya dia (MN) walaupun dia tak nampak hidup, tapi dia tak mati lagi,” kata Tuan Ibrahim dalam sidang media di Bakri malam tadi.

Status ikatan ini ‘sekadar sebagaimana ada’ kerana sama ada PAS atau UMNO tidak isytihar tarik diri ataupun bubar MN,” katanya.

“Sekarang ini MN tak masuk ICU lagi.  Malah dalam Kabinet kita bersama tiga-tiga parti, takdak hal.

“Dalam Kabinet kita sokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kita buat kerja untuk rakyat, itu tak kira parti,” ujar beliau.

Sementara itu Tuan Ibrahim menyatakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor PAS akan  membuat penilaian semula tentang masa depan MN.

Beliau bagaimanapun mengingatkan adalah tidak wajar menganggap PAS dan Bersatu sebagai elemen memecahkan umat.

“Tidak, PAS dan Bersatu sedia menjalin kerjasama. Ini bukan soal nikah kahwin.

“Malah ada orang kata PAS boleh kahwin dua sebab mampu, main banyak kolam. Ini bukan soal itu, ini soal ummah.

“Takkan lah lepas bentuk kerajaan PAS nak singkir Bersatu, kita berkawan susah dan senang,” jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Tambah beliau lagi, kacau ganggu yang terjadi dalam UMNO didalangi dua kumpulan utama iaitu kluster mahkamah dan geng kalah pilihan raya.

“Kalau ada Muafakat Nasional mereka ini tiada tempat untuk bertanding, dua kelompok inilah yang canang berbagai-bagai.

“Tapi kita main politik tak bongkar peribadi masing-masing,” kata Tuan Ibrahim.

Sebelum ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad juga memberitahu MN sudah tidak ada lagi namun belum dibubarkan secara rasmi.