KTMB jalankan siasatan kejadian lokomotif tren kargo terbakar

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih menjalankan siasatan kejdian sebuah lokomotif tren kargo miliknya terbakar di Kilometer 4.74, laluan rel antara Kempas Baru dan Pasir Gudang, Johor, semalam.

KTMB mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan kejadian kira-kira pukul 1.10 tengah hari itu melibatkan lokomotif M1004 yang mengendalikan tren kargo No. 193 dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menuju Pasir Gudang.

Ekoran kejadian itu, pengendali tren bertindak segera memberhentikan tren sebaik mengesan kebakaran pada lokomotif berkenaan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dimaklumkan pada jam 1.15 tengah hari sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.50 petang.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Menurut kenyataan KTMB, lokomotif terbabit telah dibawa ke Depoh Kempas Baru untuk menjalani pemeriksaan teknikal serta penilaian tahap kerosakan.

“Pemeriksaan lanjut akan dilaksanakan dengan kerjasama Berapit Mobility dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta menentukan tindakan susulan yang perlu diambil,” menurutnya.

KTMB memaklumkan, lokomotif M1004 merupakan antara aset yang terlibat dalam pelaksanaan Rolling Stock Strategy (RSS), iaitu inisiatif penyediaan dan pemulihan aset rel menerusi model jual dan pajak semula (sale and leaseback).

Program RSS itu melibatkan keseluruhan 44 unit lokomotif dan 246 gerabak kargo, termasuk kerja baik pulih serta penyelenggaraan aset berdasarkan pengaturan pajakan ditetapkan.

KTMB menegaskan sebarang kesimpulan berhubung punca kebakaran hanya akan dibuat selepas laporan teknikal lengkap diperoleh.

Dalam pada itu, KTMB memandang serius kejadian berkenaan dengan menegaskan keselamatan operasi, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta kebolehpercayaan aset sentiasa menjadi keutamaan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat