Fahdli Shaari persoal JAKIM dan JAIS dalam isu premis penyembelihan ayam

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Ahmad Fahdli Shaari menuntut satu penjelasan terperinci dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan dan Kerajaan Negeri Selangor berhubung dengan isu pusat penyembelihan ayam yang diragui di negeri itu.

Dalam satu hantaran di Facebok semalam, beliau berkata rekod pemeriksaan yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu diberitahu kepada orang ramai.

“Jika terdapat kecuaian, kegagalan penyelarasan atau pengabaian tanggungjawab, pihak yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, JAKIM itu tidak boleh sekadar menjawab berkenaan isu sijil halal dalam isu tersebut dengan mengatakan ia berada di luar pemantauan JAKIM.

Sementara itu, katanya, JAIS pula tidak boleh berdiam diri apabila persoalan penguatkuasaan agama di Selangor dibangkitkan, katanya.

“Rakyat berhak mengetahui sama ada sistem pengawasan halal negara benar-benar berfungsi, atau hanya bertindak selepas sesuatu isu menjadi tular,” katanya.

Sebelum itu, Fadhli mempersoalkan apakah tindakan yang diambil selepas pihak JAKIM sudah beberapa kali memeriksa dan menegur premis berkenaan sebelum ini.

Beliau turut mempersoalkan, selepas pemeriksaan dan teguran, mengapa premis penyembelihan itu masih dibiarkan terus untuk beroperasi.

“Jika JAKIM tidak mempunyai kuasa menutup premis, adakah perkara ini dirujuk kepada pihak berkuasa yang mempunyai kuasa penguatkuasaan? Kepada siapa laporan dibuat dan apakah hasilnya?

“Apakah wujud kelemahan penyelarasan antara JAKIM, JAIS dan pihak berkuasa tempatan sehingga premis yang disyaki melanggar prosedur penyembelihan boleh terus beroperasi?” soalnya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan jawapan yang diberikan dalam isu itu iaitu premis berkenaan dikatakan tidak mempunyai sijil halal, justeru tidak berada di bawah pemantauan pensijilan JAKIM.

“Adakah ini bermakna premis penyembelihan yang tidak memohon sijil halal boleh terlepas daripada perhatian pihak berkuasa agama?

“Jika begitu, bukankah di situlah terletaknya kelompongan besar dalam sistem pengawasan halal negara?” soalnya lagi.

Dalam sesi penggulungan Belanjawan 2027, Zulkifli menegaskan premis berkenaan yang terletak di Puchong, Selangor tidak tersenarai dalam rekod pemantauan pensijilan halal JAKIM.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat