PARIS – Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty, yang negaranya menjadi perantara utama dalam konflik Israel-Palestin, menegaskan Hamas tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam masa depan Gaza.
Kenyataan itu dibuat ketika Hamas sedang meneliti pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dan disokong secara terbuka oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Hamas tidak ada peranan selepas ini. Itu adalah persetujuan penuh dalam kalangan kami, sebagai orang Arab, umat Islam, malah dalam kalangan Hamas sendiri.
“Mereka sedar bahawa mereka tidak mempunyai tempat selepas ini, dan itu adalah hakikatnya,” katanya pada satu persidangan di Paris.
Namun, Abdelatty turut memberi amaran supaya Hamas tidak dijadikan alasan untuk membenarkan pembunuhan orang awam.
“Ini adalah pembersihan etnik dan genosid yang sedang berlaku. Cukup sudah,” tegasnya lapor AFP.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap masa depan Israel berikutan krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza.
“Di Gaza, sekurang-kurangnya 130,000 kanak-kanak Palestin berusia 10 tahun ke bawah sudah kehilangan seluruh keluarga, sama ada rapat mahupun jauh.
“Apa yang kita boleh jangkakan daripada mereka lima atau 10 tahun akan datang? Keadaan ini amat berbahaya.
“Bagi Israel, adalah penting untuk hidup dalam keadaan aman serta benar-benar berintegrasi dengan rantau ini. Kami lebih daripada bersedia,” katanya sambil menegaskan keamanan penting untuk masa depan Israel.
Pelan damai Trump menyeru gencatan senjata, pembebasan tebusan dalam tempoh 72 jam, perlucutan senjata Hamas serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza.
Namun, Hamas masih belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan itu, menurut sumber Palestin yang rapat dengan kepimpinan kumpulan berkenaan.



