KUALA LUMPUR – Armada Bersatu menggesa penjelasan daripada Perdana Menteri atas ketidakhadiran beliau sebagai wakil
Negara ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025 di New York.
Ketua Penerangan Armada Harris Idaham Rashid berkata, pentas UNGA merupakan platform sangat penting untuk sesebuah negara menyatakan pendirian tegas terhadap genosida yang sedang berlaku di Gaza.
Tambah beliau, memetik ucapan Annalena Baerbock dalam ucapan penggulungan di UNGA, daripada 189 pembahas 124 merupakan daripada Ketua Kerajaan/Negara.
Justeru kata Harris Idaham, hasil kajian Armada menunjukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim belum pernah memberikan kenyataan Negara di UNGA selepas genosida berlaku
di Gaza.
“Kali pertama serangan Israel keatas Gaza adalah pada 7 Oktober 2023. Kali terakhir Perdana Menteri memberikan kenyataan Negara di UNGA adalah pada 22 September 2023 (UNGA ke 78).
“Ini bermaksud Perdana Menteri tidak pernah
menegaskan pendirian Malaysia di pentas UNGA berkenaan genosida yang sedang berlaku. Malaysia diwakili oleh Menteri Luar Negeri pada UNGA 2024 dan 2025.
“Pada UNGA tahun ini, majoriti perbahasan tertumpu kepada konflik Israel – Palestin dan banyak Ketua Kerajaan telah menyampaikan
pendirian tegas terhadap isu tersebut, Perancis dan United Kingdom telah mengiktiraf Palestin sebagai negara pada pertemuan itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Hal demikian beliau melahirkan rasa kesal kerana Malaysia tidak diwakili oleh Perdana Menteri untuk menegaskan pendirian negara dan tidak menggunakan pentas UNGA untuk bertindak proaktif terhadap Misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
“Mengetahui bahawa 23 rakyat Malaysia yang terlibat dalam mini kemanusiaan tersebut, Perdana Menteri harus memainkan peranan besar di UNGA bersama negara-negara bersependapat untuk memastikan keselamatan misi tersebut.
“Tidak dinafikan bahawa Perdana Menteri sedang berikhtiar untuk membebaskan rakyat Malaysia yang dalam tahanan rejim zionis.
“Memandangkan konvoi Global Sumud Flotilla berlepas lewat Ogos daripada Malaysia, perhimpunan UNGA wajar menjadi medan untuk mencapai kata sepakat demi kelancaran misi. Ketika seluruh pemimpin dunia berkumpul di New York untuk menghadiri UNGA, Perdana Menteri memilih untuk mengadakan lawatan kerja ke
Timor-Leste yang bakal secara rasmi menjadi anggota negara ASEAN.
“Susulan itu, Armada ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri harus menimbangkan keutamaan lawatan kerja dengan lebih baik. Pada masa kini, Malaysia harus lantang di pentas dunia untuk nyatakan sokongan terhadap Palestin dan Misi Global Sumud Flotilla,” tegur beliau.



