KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menerima mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait taklimat terkini mengenai perkembangan semasa Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dalam membebaskan sukarelawan kita.
Sultan Ibrahim bertitah, GSF adalah misi kemanusiaan yang murni dalam membantu mereka yang kelaparan termasuk golongan warga emas, wanita serta kanak-kanak.
“Sukarelawan-sukarelawan yang terlibat di dalam GSF termasuk rakyat Malaysia sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
“Misi GSF ini adalah contoh semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat kita dipermudahkan dan dilindungi Allah SWT,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office pada Jumaat.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Hadir sama Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.



