Zahid Perlu Konsisten Isu Bubar Parlimen

- Advertisement -

OLEH: Dr. Mohd. Noor Yazid

Pada 20 Ogos lalu, Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi amaran Barisan Nasional (BN) akan tewas jika PRU15 tidak diadakan segera. Kata beliau, tindakan melengah-lengahkan PRU15 hanya akan memberi “senjata” kepada pembangkang yang ketika ini menyerang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbinya.

Desakan ini terus dibuat oleh beliau di dalam Majlis Taklimat Presiden UMNO di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC) pada 27 Ogos. Beliau mulanya menafikan bahawa desakan PRU15 perlu disegerakan adalah kerana beliau takutkan sabitan hukuman terhadap diri beliau. Ini dikatakan tidak benar sama sekali kerana beliau masih percaya bahawa sistem perundangan kita tidak memihak kepada sesiapa.

Seterusnya, beliau berkata desakan supaya PRU15 diadakan bukan isu baharu. Desakan ini telah UMNO lakukan sejurus kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbubar. Begitu juga apabila berlaku peralihan kepimpinan Perdana Menteri, UMNO dengan tegas menyebut kerajaan yang dibentuk adalah bersifat sementara dan PRU perlu diadakan dengan segera.

Dibangkitkan kembali betapa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memberikan panduan kepada Perdana Menteri agar PRU15 diadakan setelah imuniti kelompok dicapai. Semua itu dikatakan telah berakhir dan pandemik juga telah berakhir.

Mari kita ikuti keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh UMNO sepanjang setahun lebih yang lalu.

Sewaktu mengumumkan penarikan balik dan penamatan serta merta sokongan MKT UMNO kepada Tan Sri Mahiaddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri pada 7 Julai 2021, ada disebut panduan kepada Perdana Menteri yang baharu.

Dinyatakan oleh MKT UMNO waktu itu bahawa tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani COVID-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

Seterusnya, dinyatakan juga bahawa setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri yang baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan PRU15. Ini dikatakan penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang di-Pertuan Agong.

Begitupun, sesudah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden terkanan UMNO, berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu pada 21 Ogos 2021, nada MKT UMNO mula berubah.

Sewaktu menegaskan pendirian menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, MKT Khas UMNO pada 27 Ogos 2021 memutuskan bahawa UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi dalam pelbagai cabang kerajaan, termasuklah untuk mewujudkan Parlimen lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, selain campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain.

Dalam kenyataan beliau pada 8 September 2021 pula, Ahmad Zahid sendiri menyebut UMNO telah membuat pendirian menyokong perlantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara, kata Ahmad Zahid.

Ini diikuti oleh penegasan MKT UMNO pada 12 Januari 2022 bahawa sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal, malah perlu terus dimantapkan. Seterusnya, MKT UMNO pada 14 April 2022 sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15.

MKT UMNO pada 24 Jun 2022 pula menegaskan kembali tentang perlunya Akta Anti Lompat Parti dibentang segera di Parlimen sebelum PRU15 dengan tambahan bahawa Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan.

MKT UMNO pada 4 Ogos 2022, yang dilangsungkan setelah Akta Anti Lompat Parti diluluskan di Parlimen, pula menetapkan bahawa negeri-negeri di bawah pentadbiran BN hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh/enakmen negeri masing-masing setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan larangan lompat parti selesai digazetkan.

Oleh itu, UMNO sendiri telah berkali-kali memutuskan bahawa menyerahkan kebijaksanaan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri untuk membuat keputusan, apa lagi bila beliau diputuskan sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15 maka tentu sahaja beliau yang lebih maklum apa perlu dilakukan bagi memastikan kemenangan besar UMNO dan BN dalam PRU 15.

UMNO sendiri juga memutuskan bahawa kerajaan masih perlu membereskan beberapa agenda penting yang belum selesai, seperti mewujudkan Parlimen lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih dan Akta Pendanaan Politik selain memastikan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh/enakmen negeri masing-masing.

Kesemua ini sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan ia memerlukan sedikit masa untuk dijayakan, maka bila tiba-tiba sahaja gendang PRU15 dipalu maka ia memberi mesej yang bercanggah dengan keputusan-keputusan parti sebelum ini.

Telah berkali-kali diputuskan oleh parti, malah disebut oleh Ahmad Zahid sendiri, bahawa tarikh PRU15 akan dibincangkan di peringkat Top 5 UMNO sebelum dibawa kepada Biro Politik UMNO, MKT UMNO, Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Seri Paduka.

Begitu juga bila telah diputuskan bahawa penentuan tarikh PRU15 akan dibincangkan di peringkat Top 5 UMNO maka bincangkanlah ia di peringkat Top 5 UMNO. Hormatilah prosedur parti. Mendesak PRU15 disegerakan secara terbuka pula hanya memberi gambaran bahawa Ahmad Zahid tidak mendapat sokongan di peringkat Top 5 UMNO. Benarkah?

Penulis bekas Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat