Nabil tak kemaruk cipta gimik mengarut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selama lima tahun dan berpuluh drama dibintangi, namun, tuah masih tidak menyebelahi pelakon Nabil Aqil, 24, seperti rakan artis lain yang mengecapi populariti dalam sekelip mata.

Tidak sesekali terkilan, Nabil berpendapat, tiada apa yang perlu dikejarkan, sebaliknya, apa yang lebih penting terus kekal dalam industri seni.

“Sepanjang lima tahun, saya pernah diberi peluang beberapa kali menerajui watak utama. Namun, saya akui mungkin sesetengah penonton belum mengenali saya.

“Sejujurnya, saya tidak terburu-buru mengejar populariti, sebaliknya saya hanya ingin fokus dalam lakonan sehingga mengecapi kepuasan.

“Bagi saya, soal lama atau sekejap tidak penting, sebaliknya, bagaimana dapat bertahan dalam industri.

“Tidak dinafikan, ada pelakon mengecapi populariti sekelip mata, namun, ada juga lebih lama daripada saya masih belum dikenali.

“Jadi, saya lebih suka mengikut arus kehidupan ditetapkan,” katanya kepada BH Online.

Terbaharu, Nabil bergandingan dengan pelakon Sharifah Rose menerusi drama Ku Punya Hati menerusi slot Akasia di TV3.

Lahir menerusi program pencarian bakat Hero Remaja pada 2017, Nabil menegaskan, tidak akan mencipta gimik dalam media sosial untuk cepat dikenali.

 

Antara babak Nabil dan Sharifah Rose dalam drama Ku Punya Hati arahan Azmi Hatta. - Foto IG Nabil Aqil
Antara babak Nabil dan Sharifah Rose dalam drama Ku Punya Hati arahan Azmi Hatta. – Foto IG Nabil Aqil

 

Kata Nabil, dia tidak begitu aktif dalam laman sosial kerana tidak selesa menjaja kisah peribadi kepada khalayak.

“Saya tidak suka berkongsi soal peribadi dalam media sosial, malah, saya jarang ada masa membelek telefon. Sebab itu orang boleh nampak saya tidak begitu aktif dalam media sosial.

“Ada sesetengah artis 24 jam membelek telefon, tetapi saya bukan jenis begitu. Kehidupan peribadi wajar disimpan untuk diri sendiri,” katanya.

Berkongsi drama 28 episod itu, Nabil berkata, banyak perkara yang melucukan berlaku sepanjang penggambaran.

Namun, katanya, dia tidak sukar mencipta keserasian dengan Sharifah Rose kerana faktor usia hampir sebaya.

“Banyak insiden kelakar terjadi dalam drama ini. Saya membawakan watak Noah yang terpaksa menyembunyikan status suami isteri disebabkan kerja.

“Naskhah ini agak berat, namun, saya tidak pula rasa terbeban. Mungkin saya dan Sharifah Rose mudah mencipta keserasian.

“Saya tidak mahu meletakkan apa-apa harapan, namun, saya bersyukur jika drama Ku Punya Hati mendapat rating bagus,” katanya.

Mengulas adakah akan mengikut jejak langkah Noah yang menyembunyikan hubungan, Nabil berkata, dia sangat menitik beratkan soal peribadi, jadi, takkan sesekali berkongsi kisah percintaan selagi belum ada ikatan sah.

“Saya juga sudah bersedia dikecam netizen kerana ia menjadi lumrah sebagai anak seni.

“Saya yakin kebanyakan artis akan menghadapinya. Netizen akan berhenti bercakap apabila sudah penat dan apa yang dikatakan salah,” katanya.

Terdahulu, drama Ku Punya Hati arahan Azmi Hatta mengisi slot Akasia di TV3 sejak 4 Ogos lalu.

Selain Nabil dan Sharifah Rose, drama terbitan Sha’s Media Sdn Bhd turut dibintangi Luqman Hafidz, Alya Iman, Cahaya Nilam, Salina Saibi, Wan Nor Azlin, Hafidz Roshdi, Zila Bakarin, Azri Iskandar dan ramai lagi.

Berita Harian

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat