Nasrudin Minta Dewan Ulamak PAS Henti Serang UMNO Selaras Usul ‘Berbaik’

- Advertisement -

ALOR SETAR – Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Nasrudin Hassan Tantawi meminta anggota dan pemimpin Dewan Ulamak Pas supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat sebagai satu bentuk serangan terhadap UMNO.

Usaha itu selaras dengan usul yang dibuat oleh Muktamar Dewan Ulamak Pas ke-61 hari ini untuk ‘berbaik’ dengan UMNO.

Usul tersebut akan dibawa ke Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung selama dua hari bermula esok.

“Maksudnya jangan kita sebut kita hendak menyatukan ummah melibatkan UMNO, Bersatu dan sebagainya tetapi dalam kenyataan kita sama ada kepada media, ataupun media sosial kita menunjukkan sikap yang tidak menyatukan,

“Kita layan provokasi-provokasi daripada pihak yang memang dihantar untuk memecahbelahkan umat Islam dan orang Melayu dalam negara.

“Jadi saya minta terutamanya pimpinan dan rakan-rakan dari Dewan Ulamak Pas di semua peringkat supaya kita hentikan kenyataan-kenyataan yang serang menyerang antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan menyokong usul yang dibawa oleh Dewan Ulamak Pas.

Usul berkenaan dibentangkan perwakilan Dewan Ulama Pas Kelantan, Tuan Saripudin Tuan Ismail yang juga setiausahanya.

Usul itu diterima tanpa dibahas oleh majoriti perwakilan yang hadir.

Nasrudin berkata, Dewan Ulamak Pas perlu menjadi pendamai antara Pas dan UMNO.

Justeru semua kenyataan yang dikeluarkan harus bersifat untuk melunakkan keadaan.

“Dia punya alasan, dia serang dulu takkan kita nak dengar sahaja kita kena lawan balik. Dia kata kita serang dulu, kita kata mereka mula dulu. Jadi siapa yang mulakan dulu?

“Bila perkara ini hendak selesai? Dan bagaimana kenyataan kita boleh menyatukan?

“Kita harus membuat kenyataan-kenyataan yang melunakkan keadaan. Menyentuh perasaan mereka, menarik mereka kembali kepada kita. Kita ini adalah pendakwah kenapa kita ini kadang-kala menghiris perasaan orang lain,” tanya beliau.

Sementara itu, Nasrudin berkata, penyatuan UMNO dan Pas boleh menjadi penghalang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berkuasa semula.

Namun sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru besar kemungkinan PH akan memperoleh kemenangan besar.

“Kita akan berusaha untuk memastikan PH tidak kembali ke tampok pemerintahan di negara kita. Hanya 22 bulan mereka memerintah cukup perit bagi rakyat,” kata Nasrudin.-MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,497FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat