KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Tan Sri Annuar Musa mendakwa Barisan Nasional (BN) hanya mampu mengekalkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka sekiranya keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijadikan ukuran, namun menegaskan PAS tetap menyerahkan keputusan mengenai hala tuju politik kepada kepimpinan parti.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin, beliau berkata PAS telah menyerahkan mandat sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi bagi menentukan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, PAS Melaka juga telah memaklumkan kepada Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat senarai kawasan yang berhasrat ditandingi, selain persiapan menghadapi pilihan raya telah dibuat sejak kira-kira setahun lalu.
Annuar berkata, berdasarkan keputusan PRN Melaka 2021, BN memenangi sebahagian besar kerusi DUN negeri itu.
Bagaimanapun, beliau mendakwa landskap politik telah berubah selepas PRU15 pada 2022.
“Berdasarkan PRU15 dan terkini, BN hanya kekal menang di empat kerusi sahaja, manakala PN sembilan kerusi dan selebihnya PH,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan semangat muafakat terus dijunjung oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam menentukan hala tuju politik menjelang PRN Melaka.
“Yang penting PH dan DAP tetap ditolak kerana dasar, ideologi dan prestasinya.
“Rakyat berhak mendapat kerajaan yang lebih baik,” katanya.
Kenyataan Annuar dilihat memberi isyarat bahawa PAS telah membuat persiapan awal menghadapi PRN Melaka, namun sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi atau bentuk kerjasama politik masih tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan kepimpinan parti.



