Hidup Bersama Covid-19

- Advertisement -

AB JALIL BACKER

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Malaysia bakal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu sebahagian rakyat yang sudah hilang mata pencarian.

Beberapa hari sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ada menulis apa yang berlaku sekarang bukanlah normal baharu tetapi lebih kepada kejanggalan baharu (new abnormal).

Sama ada tulisan Mohamad itu berkaitan atau tidak, jelas Perdana Menteri pun memikirkan cara untuk menghentikan segala kejanggalan hidup ini secepat mungkin tanpa menjejaskan usaha melawan koronavirus (Covid-19).

Bermula 4 Mei 2020, hampir kesemua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat dan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Kebanyakan yang dilarang ialah membabitkan perhimpunan ramai orang seperti acara keagamaan di rumah ibadat, konsert, acara sukan, sekolah dan universiti.

Ada yang membandingkan tempoh PKP lebih lama di China dan Itali tidak mampu menyelesaikan isu Covid-19 sebagai asas kebimbangan mereka.

Membandingkan Malaysia dengan China dan Itali agak tidak munasabah kerana jumlah keluasan, bilangan penduduk dan pesakit Covid-19 di negara-negara itu jauh lebih besar.

Kuat kuasa

Hakikatnya Malaysia menguatkuasakan PKP selama hampir 50 hari. Ia antara yang terpanjang walaupun kita hanya mempunyai rakyat sekitar 32 juta orang.

Ada pula mendakwa Hokaido (Jepun), Jerman dan Kanada berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 selepas PKP dilonggarkan. Apa yang rakyat tidak sedar, tajuk-tajuk berita sahaja tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Kanada baru merancang melonggarkan PKP esok secara berperingkat, justeru tidak benar mereka berhadapan gelombang baharu selepas PKP dilonggarkan.

Hokaido pula hanya mengadakan PKP selama 21 hari. Masalah di Hokaido ialah proses PKP dan usaha mematikan rantaian Covid-19 dibuat secara berasingan antara negeri-negeri dalam Jepun.

Justeru, selepas 21 hari, Hokaido membuka sekolah dan semua kedai dan perniagaan seperti biasa tanpa sekatan.

Kemasukan pelancong domestik Jepun dari kawasan lain menyebabkan berlakunya gelombang kedua kerana rantaian Covid-19 daripada Festival Salji Sapporo 2020.

Jerman pula mula melonggarkan PKP selepas 30 hari. Namun, belum ada gelombang kedua di Jerman seperti yang digembar-gemburkan.

Apa yang dibincangkan ialah peningkatan kadar kebolehjangkitan daripada 0.7 peratus kepada 0.96 peratus.

Jerman meletakkan kadar kebolehjangkitan satu peratus sebagai tanda aras.

Dari segi kes, jumlah di Jerman masih sekitar 164,000 orang sama seperti sewaktu mereka melonggarkan PKP. Tujuan PKP adalah bagi mengawal penularan Covid-19 dan mengurangkan kadar kebolehjangkitan.

Kita tidak boleh menghapuskan Covid-19 sepenuhnya dalam jangka masa terdekat. Ia mengambil masa mungkin berbulan atau bertahun sebelum wujud vaksin.

Apa yang kita perlu buat sekarang ialah belajar untuk hidup bersama virus Covid-19 ini melalui penjarakan sosial dan amalan kesihatan.

Percubaan kerajaan melaksanakan PKPB mungkin berjaya, mungkin juga tidak, namun jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

– Sinar Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat