Gerakan koperasi capai perolehan RM64 bilion tahun 2023 – Ewon

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, gerakan koperasi di negara ini berjaya mencapai perolehan sebanyak RM64.56 bilion pada tahun 2023.

Beliau berkata, pencapaian amat membanggakan itu sekaligus mencapai sasaran lebih awal Dasar Koperasi Malaysia (DaKom2030) yang ditetapkan pada tahun 2025 sebanyak RM60 bilion.

“Gerakan koperasi telah menunjukkan prestasi pencapaian sangat membanggakan dengan peningkatan perolehan secara keseluruhan sebanyak 42 peratus iaitu RM64.56 bilion pada tahun 2023 berbanding RM45.5 bilion pada tahun 2022.

“Pada dasarnya sasaran DaKom2030 yang menyasarkan perolehan koperasi berjumlah RM60 bilion pada tahun 2025 telah tercapai dua tahun lebih awal dan sasaran seterusnya pada tahun 2030 ialah RM73 bilion.

“Percaya pencapaian ini adalah hasil usaha gigih serta kerja keras semua pihak pengurusan tertinggi dan warga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam merencana pelbagai program pembangunan dan kawalselia koperasi di seluruh Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar SKM, di Ibu Pejabat SKM, di sini, malam tadi.

Ewon berkata, selain kejayaan meningkatkan perolehan, SKM juga berjaya mendaftarkan 1,001 koperasi baharu sepanjang tahun lalu mengatasi purata pendaftaran tahun sebelumnya.

Katanya, bagi memastikan kapasiti sumber manusia dapat menyokong peranan dan fungsinya, SKM telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengisi 100 perjawatan bertaraf kontrak mengikut waran sedia ada di pelbagai peringkat perjawatan.

“Sudah tentu dengan kelulusan perjawatan ini akan memantapkan lagi peranan SKM sebagai sebuah badan kawal selia dan pembangunan koperasi.
“Saya berharap momentum dan prestasi SKM akan dapat dikekalkan dalam penganjuran program-program di peringkat nasional sehingga akar umbi,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ewon turut menyampaikan zakat wakalah SKM kepada lima buah pusat jagaan dan rumah anak yatim iaitu Pusat Jagaan Kasih Murni, Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi, Rumah Anak Yatim Shifa (Persatuan Kebajikan Teratak Shifa Kuala Lumpur dan Selangor) dan Rumah Raudhatul Alfaeez.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat