KUALA LUMPUR – Dalam 100 orang Bumiputera hampir 8 orang masih dalam kemiskinan mutlak dan jumlah itu jauh lebih ramai berbanding bukan Bumiputera.
Namun apabila bantuan kepada Bumiputera dipertikaikan, ini bermakna mereka mahu biarkan golongan majoriti miskin ini terus terpinggir? soal Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.
Justeru beliau yang juga Ketua Penerangan Pas menganggap kenyataan Lim Guan Eng tidak praktikal namun katanya, Bumiputera wajib terus dibantu, bukan Bumiputera miskin juga tidak boleh dipinggirkan.
“Bila bercakap soal bantuan ekonomi, ada suara yang perlu lebih banyak diberi kepada bukan Bumiputera termasuklah kenyataan Lim Guan Eng hari ini. Tapi kalau kita tengok angka sebenar, realitinya Bumiputera masih ketinggalan dan perlukan sokongan.
“Jurang pendapatan masih besar, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM, 2022), pendapatan isi rumah purata bulanan mengikut kaum adalah seperti berikut Bumiputera: RM5,420; Cina: RM8,477 dan India: RM7,150.
“Jelas, pendapatan purata Bumiputera masih jauh lebih rendah. Beza dengan kaum Cina lebih RM3,000 sebulan. Setahun sudah lebih RM36,000. Ini bukan jurang kecil.
Itu belum lagi bincang bab senarai 10 orang terkaya di Malaysia, yang membuktikan ‘bukan Bumiputera dipinggir?’ bidas Fadhli.
Sementara itu, beliau juga menyentuh aspek pemilikan ekuiti korporat masih rendah yakni mengambil kira laporan terkini menunjukkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia hanya 21 peratus (2023), berbanding bukan Bumiputera (29.5 peratus) dan pelabur asing.
“Walhal, Bumiputera adalah 69.9 peratus daripada populasi negara. Kalau ada pihak yang mendakwa Bumiputera sudah cukup kuat dalam ekonomi, angka ini jelas membuktikan sebaliknya.
“Bumiputera masih dominan dalam golongan miskin iaitu mengikut data kemiskinan mutlak DOSM (2022) Bumiputera: 7.9 peratus; Cina: 1.9 peratus; India: 5.4 peratus. Maknanya, dalam 100 orang Bumiputera, hampir 8 orang masih dalam kemiskinan mutlak. Jauh lebih ramai berbanding bukan Bumiputera.
“Bila bantuan kepada Bumiputera dipertikaikan, ini bermakna mereka mahu biarkan golongan majoriti miskin ini terus terpinggir? soal beliau.
Pun begitu Fadhli berkata, bukan Bumiputera miskin juga perlu dibantu.
“Tak ada siapa menafikan bahawa bukan Bumiputera miskin juga wujud dan mereka juga wajib dibantu. Sebab itu, program seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan BSH (Bantuan Sara Hidup) diberikan mengikut pendapatan, bukan kaum.
“Maka, kalau ada yang guna hujah “bantuan hanya untuk Bumiputera”, itu hanyalah manipulasi fakta. Yang betulnya, Bumiputera perlu diberi sokongan tambahan kerana jurang yang masih wujud, tapi dalam masa yang sama, bukan Bumiputera miskin tetap ada hak untuk dibantu,” katanya.
Fadhli membangkitkan persoalan, ahli Parlimen pembangkang tak dapat peruntukan, tapi Pulau Pinang Dapat RM14 bilion untuk LRT?
Satu lagi perkara yang pelik ialah peruntukan pembangunan sangat berat sebelah. Ahli-ahli Parlimen pembangkang, yang rata-rata mewakili kawasan Malay Belt seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis langsung tidak diberi peruntukan kawasan.
“Ini kawasan majoriti Bumiputera, dan mereka sepatutnya mendapat hak yang sama sebagai wakil rakyat. Tapi dalam masa yang sama, Pulau Pinang diberi projek LRT bernilai RM14 bilion.
“Negeri itu sememangnya dikuasai DAP, parti yang sering mempertikai keistimewaan Bumiputera. Kenapa bila bercakap tentang keadilan ekonomi, mereka senyap bila negeri mereka mendapat peruntukan mega, tetapi bising bila Bumiputera mendapat bantuan yang jauh lebih kecil?
“Ini jelas double standard. Kalau benar mahu keadilan, sepatutnya semua kawasan dapat manfaat, bukan hanya negeri yang sehaluan dengan kerajaan.
“Sekali lagi ini bukan soal kaum, ini soal realiti ekonomi. Kalau bantuan Bumiputera dipersoalkan, maka bantuan mega kepada negeri DAP juga harus dipersoalkan. Jangan hanya perjuangkan keadilan bila ia menguntungkan sebelah pihak sahaja,” tegas Fadhli.
Guan Eng sebelum itu mencadangkan supaya kerajaan menambah peruntukan kepada golongan bukan Bumiputera kepada 10 peratus berbanding peruntukan kepada Bumiputera.
“Saya juga ingin mencadangkan bahawa Kerajaan Perpaduan memperuntukkan 10 peratus daripada apa yang diberikan kepada kaum Bumiputera dalam Belanjawan diberikan kepada kaum bukan Bumiputera. Contohnya dalam Belanjawan PN 2022, kaum Bumiputera diperuntukkan sebanyak RM 11.4 bilion manakala kaum bukan Bumiputera diberikan pula RM 345 juta, yakni 3 peratus sahaja.
“Saya menyokong apa-apa jumlah yang diberikan untuk membantu kaum Bumiputera tetapi yang diminta ialah peratusan 3 peratus yang diperuntukkan kepada kaum Bumiputera dinaikkan kepada 10 peratus untuk kaum bukan Bumiputera.
“Contohnya sekiranya RM12 bilion diperuntukkan kepada kaum Bumiputera, berikanlah 10 peratus atau RM 1.2 bilion kepada kaum bukan Bumiputera. Ini selaras dengan Kerajaan Perpaduan yang menjaga semua rakyat,” saran Pengerusi DAP itu.