Guan Eng cadang kerajaan beri peruntukan 10 peratus kepada bukan Bumiputera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Lim Guan mencadangkan Kerajaan Perpaduan menambah peruntukan kepada golongan bukan Bumiputera kepada 10 peratus berbanding peruntukan kepada Bumiputera.

“Saya menyokong apa-apa jumlah yang diberikan untuk membantu kaum Bumiputera tetapi yang diminta ialah peratusan 3 peratus yang diperuntukkan kepada kaum Bumiputera dinaikkan kepada 10 peratus untuk kaum bukan Bumiputera.

“Contohnya sekiranya RM 12 bilion diperuntukkan kepada kaum Bumi, berikanlah 10 peratus atau RM 1.2 bilion kepada kaum bukan Bumi. Ini selaras dengan Kerajaan Perpaduan yang menjaga semua rakyat.

“Saya juga ingin mencadangkan bahawa Kerajaan Perpaduan memperuntukkan 10 peratus daripada apa yang diberikan kepada kaum bumi dalam Belanjawan diberikan kepada kaum bukan Bumi. Contohnya dalam Belanjawan PN 2022, kaum Bumi diperuntukkan sebanyak RM 11.4 bilion manakala kaum bukan Bumi diberikan pula RM 345 juta, yakni 3 peratus sahaja,” kata Ahli Parlimen Bagan itu di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Guan Eng menyokong Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan(2024) 2025 sejumlah RM20.2 bilion dan tambahan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM 2.3 bilion.

Ujar beliau lagi, sememangnya ini ialah kelaziman prosedur Parlimen untuk menegakkan akauntabiliti dalam proses Belanjawan khususnya perbelanjaan luar jangkaan.

“Ada keperluan untuk perbelanjaan luar jangkaan berikutan ketidaktentuan ekonomi ekoran dasar ekonomi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang agak bercelaru berkisarkan pelaksanaan tariff secara menyeluruh, pertumbuhan ekonomi lemah negara China rakan dagang terbesar Malaysia, dan penurunan permintaan semikonduktor.

“Sebelum ini pertumbuhan ekonomi dilihat sebagai lembab. Harga eksport Malaysia pada Januari 2025 naik 0.3 peratus berbanding Disember 2024 sungguhpun dijangka naik sebanyak 5 peratus oleh pakar ekonomi. Kenaikan juga disebabkan oleh kenaikan harga bahan eksport seperti harga minyak.

“Itulah sebabnya indeks nilai seunit eksport meningkat 0.3 peratus pada Januari 2025, indeks volum eksport pula menurun 11.6 peratus. Dari segi perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport meningkat 2.7 peratus, namun indeks volum eksport berkurang 2.4 peratus,” katanya.

Menurut Guan Eng, jualan kenderaan pada Januari 2025 merosot sebanyak 40 peratus berbanding dengan Disember 2024.

Kata beliau, perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan sebanyak 27 peratus. Sungguhpun penurunan ini disebabkan oleh bulan bekerja yang singkat (19 hari) berikutan cuti Tahun Baharu Cina serta pembelian awal kenderaan pada Disember 2024, soalannya ialah samada penjualan kenderaan akan pulih ke jumlah asalnya pada bulan Disember 2024.

“Kesemua ini adalah tanda amaran bahawa tekanan ekonomi hanya akan bertambah dengan faktor global di luar kawalan kerajaan.

“Oleh demikian adalah perlu kerajaan meringankan beban kewangan perniagaan, khususnya Industri Kecil dan Sederhana. Saya tidak mahu mengulangi syor saya sebelum ini berkaitan menaikkan nilai ambang e-invoicing daripada jumlah jualan sebanyak RM 150,000 kepada RM 500,000 setahun, mengecualikan majikan daripada membayar sumbangan KWSP sebanyak 2 peratus untuk pekerja asing dan menangguhkan pelaksanaan pengapungan minyak RON95,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat