Oleh Zihan Zari
LANGKAWI – Sebanyak 23 karya menampilkan hubungan erat antara manusia, alam dan kekeluargaan selain menggambarkan seni, bersifat reflektif serta menyentuh nilai kemanusiaan dihimpunkan dalam Pameran LAVAA 15 yang sedang berlangsung di Galeri Aras 1, Balai Seni Negara Langkawi dari 1 hingga 31 Julai ini.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata Pameran LAVAA 15 merangkumi pelbagai medium seperti lukisan, catan, arca, cetakan, fotografi dan batik yang memperlihatkan kepelbagaian idea, ekspresi serta gaya persembahan setiap artis.
“Pameran LAVAA 15 dianjurkan oleh Persatuan Seni Visual Langkawi atau lebih dikenali sebagai Langkawi Visual Art Association (LAVAA) dan Balai Seni Negara Langkawi sempena sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan LAVAA.
”Pameran ini bermatlamat untuk memperkasa ahli LAVAA menerusi pendedahan karya berkualiti, di samping merancakkan ekonomi seni tempatan dan memperkukuh jaringan komuniti seni.
“Ia turut mendorong kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan badan kesenian, termasuk sokongan daripada Kedah Tourism dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), serta penggiat industri tempatan seperti Lim Optometry dan Che Pa Village Langkawi, ”kata kenyataan itu.
Menurutnya, LAVAA ditubuhkan pada 23 Disember 2009 dan kini dianggotai oleh 50 orang ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta kepakaran dalam bidang seni visual.
Setelah 15 tahun bergerak aktif sebagai wadah penggiat seni di Langkawi, LAVAA giat merangka dan melaksanakan program serta aktiviti seni visual secara berterusan sebagai strategi untuk memperkukuh landskap seni tempatan.
“Balai Seni Negara terus komited menjalin hubungan erat dengan komuniti seni tempatan serta bersedia meneroka peluang kolaborasi yang dapat memperluas capaian dan impak seni visual ke peringkat lebih tinggi.
“Penganjurannya turut dilihat sebagai satu usaha yang menyokong aspirasi untuk menjadikan Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan seni, selain memperkenalkan, membudayakan dan memelihara khazanah seni warisan bersama masyarakat setempat, ”katanya.
Perasmian Pameran LAVAA 15 telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Muhamad Subhi Abdullah di Balai Seni Negara Langkawi, dekat sini pada Sabtu lalu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Balai Seni Negara, Rohana Mohd Yusof; dan Yang Dipertua LAVAA, Sukardi Hashim.
LAVAA 15 melibatkan penyertaan seramai 23 orang artis, antaranya, Ahmad Rosli Azimad, Arjan Che Rus, Khairudin Abdul Hamid, Lim It Leang, Mohamad Hanafiah Ibrahim, Mohamad Jazli Safwan Ali, Muhammad Hakiki Syahrudin, Muhammad Izzat Md Isa, Shureeza Faris Abdul Shukor, Nursyahmir Nazreen Setapa, Rashid Ramli dan Rominoe Jamiran.
Selain itu, Nazri Abdullah, Subri Ismail, Sukardi Hashim, Syahril Azwan Salleh, Syahrudin Ishak, Mohammad Radzi Ismail, Aznah Abu, Nor Harliza Ariffin, Nurul Ashyqin Ruhaizat, Rahimah Ali Mohamed Ali dan Zuraidah Zainal Abidin.
Untuk maklumat lanjut, sila ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Langkawi atau layari www.artgallery.gov.my.
Orang ramai dan peminat seni dijemput mengunjungi pameran ini yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma. -SUARA.TV



