Itu hanya pandangan saya, Nazri jawab Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya telah tersalah tafsir kenyataannya berhubung isu pelantikan hakim, sambil menegaskan pandangannya hanyalah bersifat peribadi dan bukan mewakili keputusan Perdana Menteri.

Menurut Mohamed Nazri, kenyataan yang dilaporkan media sebelum ini hanyalah pendapat peribadinya dan tidak harus dilihat sebagai suara rasmi kerajaan.

Beliau menjelaskan bahawa hubungannya yang baik dengan Perdana Menteri tidak bermakna beliau mempunyai kuasa atau pengaruh untuk mencampuri urusan kerajaan.

“Perdana Menteri berhak sepenuhnya atas apa-apa keputusan yang mahu beliau buat. Kalau perkara ini nak dibincangkan, mungkin bincang dengan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Undang-Undang.

“Latheefa juga kena tahu, saya baik dengan semua orang dan semua orang pun nak berbaik dengan saya, termasuk pemimpin dari Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Latheefa sebelum ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjawab dakwaan mengejutkan bahawa Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tidak disambung perkhidmatannya kerana satu ucapan yang disampaikannya di Malta.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata kenyataannya kepada media tidak seharusnya mengejutkan atau membimbangkan sesiapa kerana ia adalah sekadar pandangan peribadi.

“Saya lebih terkejut bila Latheefa yang dikenali sebagai peguam handal tersalah tafsir kenyataan saya.

“Sebagai seorang peguam yang hebat, agak pelik bila Latheefa menganggap kenyataan saya sebagai keputusan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan Latheefa agar memahami maksud sebenar kenyataannya sebelum memberi sebarang reaksi.

“Dalam kenyataan saya, saya ada sebut bahawa seorang Ketua Hakim tidak boleh mencampuri urusan politik. Saya rasa Latheefa juga faham perkara ini.

“Tetapi ucapan Tengku Maimun di luar negara itu seolah-olah menunjukkan beliau cuba mencampuri urusan politik,” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Hakim Negara yang menekankan pelantikan hakim perlu bebas daripada campur tangan Perdana Menteri.

“Bila dia sebut pelantikan hakim perlu bebas daripada campur tangan Perdana Menteri, bermakna dia nak bagitahu Perdana Menteri sebelum ini termasuk yang melantik dia juga masuk campur urusan kehakiman?

“Dia kena ingat, Perdana Menteri itu dipilih oleh rakyat, jadi kena hormat orang yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri menegaskan sekiranya Tengku Maimun tidak disambung kerana ucapan di luar negara seperti yang beliau nyatakan, ia bukan satu perkara pelik.

Menurut beliau, jika khidmat Tengku Maimun disambung, tidak mustahil banyak lagi urusan politik yang akan dicampurinya.

“Jika dilanjutkan selama 6 bulan lagi, tidak mustahil dia boleh membuat berbagai kenyataan yang memburukkan perdana menteri dan masuk campur urusan politik.

“Tetapi perlu ingat, ini sekali lagi pandangan peribadi saya, bukan keputusan perdana menteri. Jangan nanti Latheefa terkejut sekali lagi,” katanya.

Dalam nada sinis, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Latheefa kerana memberikan beliau pengiktirafan sebagai tokoh penting dalam UMNO, walaupun beliau hanya memegang jawatan Ketua Bahagian.

“Betapa hebatnya UMNO ini, ketua bahagian pun dianggap watak penting dalam politik negara,” katanya berseloroh.

Mohamed Nazri dalam satu temubual bersama The Scoop memberitahu, Tengku Maimum sepatutnya memberitahu kebimbangan beliau berhubung isu kehakiman kepada perdana menteri bukan menyentuh dalam ucapan di luar negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat