KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gelombang kebangkitan Umno sedang menjalar dikalangan akar umbi demi harapan rakyat untuk melihat parti Melayu itu bangkit dengan maruah dan wibawa.
Meskipun mengakui Umno pernah kalah namun kata Zahid Umno bukan tewas dalam prinsip.
“Kehadiran saya ke Tanah Merah, Kelantan pada kali ini adalah untuk menyampaikan mesej bahawa Umno tidak pernah mati. Kita pernah kalah, tetapi bukan tewas dalam prinsip.
“Kita diuji dengan pengkhianatan, digoncang dengan kekalahan, tetapi hari ini gelombang baharu mula terasa.
“Insya-Allah, jika semangat yang ditunjukkan di Tanah Merah ini dapat dizahirkan di seluruh negara, kebangkitan semula Umno akan menjadi suatu kepastian.
“Ayuh kita terus beristiqamah dalam perjuangan demi harapan rakyat yang ingin melihat Umno bangkit dengan maruah dan wibawa,” seru beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri pada Jumaat.
Zahid berkata demikian ketika siri jelajah perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian ke Tanah Merah, Kelantan yang beliau lihat sebagai sebuah bahagian yang bukan sahaja bertahan dalam badai, tetapi terus memperkukuh iltizam untuk bangkit semula.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Datuk Wan Rakemi Wan Zahari dan seluruh saf kepimpinan Umno Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah membuktikan bahawa semangat juang Umno di Tanah Merah masih bernyawa dan masih disambut dengan penuh kesetiaan oleh akar umbi.
“Saya lihat aura semangat para perwakilan hari ini benar-benar luar biasa seolah-olah kita berada dalam suasana Perhimpunan Agung Umno,” ujar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.



