KOTA KINABALU, 1 DISEMBER 2025 – Dua blok politik terbesar di peringkat nasional, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), mencatatkan prestasi paling memalukan dalam sejarah kedua-dua gabungan apabila masing-masing hanya memenangi satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Namun bagi PN, kemenangan tunggal melalui Datuk Dr. Aliakbar Gulasan di DUN Karambunai dianggap luar biasa. Ini kerana parti tersebut berdepan trauma pasca PRU-15 apabila berlakunya gelombang lompat parti yang menyebabkan mereka kehilangan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri dan enam kerusi Parlimen. Dalam konteks ini, satu kerusi bukan kegagalan mutlak. Bahkan ramai pemerhati menjangka PN tidak akan memenangi apa-apa.
Walau bagaimanapun, perdebatan pasca-PRN tertumpu bukan pada kemenangan itu, tetapi pada buruknya angka-angka keseluruhan, kesan daripada strategi yang lemah serta kemungkinan wujud usaha tertentu untuk memalukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beberapa jam selepas keputusan rasmi diumumkan, serangan segera terarah kepada Muhyiddin. Portal FMT antara terkedepan mengemukakan permasalahan ini. Selain itu pesanan WhatsApp juga bertaburan dengan tuduhan Muhyiddin gagal membantu jentera kempen, tidak turun padang secara agresif, dan gagal mendapatkan dana pilihan raya.
Namun realitinya, keputusan-keputusan utama sebelum PRN sudah cukup membayangkan bahawa PN memasuki Sabah tanpa perancangan dan tanpa langkah strategik yang matang.
Justeru kekalahan PN di Sabah bukan sekadar episod malang dalam politik negeri. Ia membuka tirai kepada krisis dalaman, keretakan struktur dan kelemahan taktikal yang memaksa Bersatu serta PN menilai semula asas kepimpinannya. Apa yang berlaku adalah simptom kepada penyakit lebih kronik — penyakit yang bukan datang dari luar, tetapi membiak dari dalam parti sendiri.
Di sebalik kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, dua nama memegang kuasa operasi dan taktikal parti: Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Pengarah Pilihan Raya PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee, yang juga Pengerusi Bersatu dan PN Sabah.
Kedua-duanya menguasai keseluruhan proses pemetaan kerusi, pemilihan calon dan strategi kempen. Namun dua tokoh yang sepatutnya memperkukuh PN Sabah inilah akhirnya menjadi punca utama keputusan menjunam.
Perjudian bertanding 42 Kerusi
Keputusan PN Sabah untuk bertanding 42 kerusi, sebahagian besar ditandingi Bersatu, adalah tindakan yang langsung tidak berpijak pada realiti politik Sabah. Bersatu Sabah tidak mempunyai struktur akar umbi yang mantap – mereka hilang begitu banyak kepimpinan bahagian dua tahun lalu, sumber kewangan amat terhad, dan rangkaian kepimpinan tempatan tidak setanding dengan GRS, BN atau Warisan.
Hamzah sebagai pengarah pilihan raya pusat bukan orang baharu dalam taktikal politik. Lama beliau dalam UMNO dan sangat memahami sepak terajang politik Sabah. Ronald juga ahli politik berpengalaman dengan dinamika politik Sabah.
Namun tindakan mereka bertentangan dengan kebijaksanaan asas politik negeri ini, di mana kemenangan bergantung kepada sumber kewangan, jaringan komuniti dan reputasi individu — bukan sekadar logo dan naratif nasional.
Apabila strategi agresif ini diteruskan walaupun mengetahui kekangan sumber, ia menimbulkan persoalan tentang motif sebenar.
Bacaan lunak menyatakan mereka terlalu ambitious dan tidak realistik. Bacaan keras pula menyebut ia mungkin dirancang untuk menjerumuskan PN ke dalam kekalahan besar, sekali gus menekan Muhyiddin serta menggugat struktur kuasa parti.
Pemilihan calon Bersatu oleh Ronald dan Hamzah
33 calon Bersatu dipilih dan disaring oleh Ronald dan Hamzah. Sumber dalaman menyatakan senarai calon hanya diserahkan kepada Muhyiddin sebelum beliau naik ke pentas mengumumkan nama calon PN.
Yang lebih mengecewakan, majoriti calon tidak mempunyai kemampuan asas sebagai pemimpin pilihan raya. Ramai tidak mampu berpidato, tidak arif tentang manifesto, gagal menghuraikan isu pembangunan kawasan, malah tidak memiliki kredibiliti dalam komuniti. Dalam konteks Sabah — di mana 52% pengundi menilai berdasarkan calon — ini adalah formula kekalahan yang sempurna.
Analisis oleh penyelidik Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Yusof, mengukuhkan dapatan tersebut. Daripada 33 calon Bersatu, hanya 3 calon tidak hilang deposit, manakala 30 calon (90.9%) hilang deposit. Malah 17 calon yang mendapat kurang 500 undi.
Ini bukan sekadar kekalahan tapi satu angka buruk kerana tiada perancangan teliti. Sebahagian calon PN sama standard seperti calon bebas yang bertanding untuk suka-suka. Bersatu Sabah hilang keupayaan asas untuk menganalisa senario politik tempatan dan membuat keputusan yang tepat.
Sebaliknya PAS — walaupun hanya meletakkan enam calon — berjaya memenangi satu kerusi dan dua calon lagi tidak hilang deposit. Ini menunjukkan bahawa apabila pemilihan calon dilakukan dengan lebih teliti, hasilnya jauh lebih baik.
Tidak seperti PAS, kegagalan PN tertumpu hampir sepenuhnya kepada Bersatu Sabah, sekali lagi mengesahkan kelemahan strategi yang diputuskan oleh Hamzah dan Ronald.
Kalahnya Ronald
Tindakan Bersatu bertanding di 33 kerusi tanpa sumber kewangan yang mencukupi adalah satu kesilapan besar. Dianggarkan Bersatu hanya memperuntukkan sekitar RM3.3 juta untuk keseluruhan kerusi — jumlah yang mungkin hanya memadai untuk memenangi satu atau dua kerusi luar bandar. Di Sabah, terutamanya kawasan pedalaman, faktor kewangan memainkan peranan besar dalam gerak kerja jentera.
Kelemahan strategi ini terserlah apabila Ronald sendiri tumbang di DUN Sugut dengan majoriti besar. Beliau memperoleh 3,498 undi berbanding lawannya yang menang, Datuk James Ratib mendapat 6,281 undi.
Sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut dan Pengerusi PN Sabah, kekalahan beliau adalah tanda jelas bahawa Ronald gagal membaca kekuatan dirinya sendiri — apatah lagi kekuatan gabungan.
Krisis dalaman merosakkan
Keputusan PRN Sabah mendedahkan bahawa Bersatu berdepan krisis kepimpinan dalaman yang serius. Keputusan penting dibuat oleh dua individu tanpa semak imbang, tanpa rundingan akar umbi dan tanpa penglibatan Presiden.
Keputusan oleh mereka yang ada kepentingan untuk menjatuhkan Muhyiddin. Dan kini bekas Perdana Menteri tersebut pula dipaksa menanggung akibat sepenuhnya, meskipun beliau tidak memiliki kawalan terhadap proses yang membawa kepada kekalahan.
Tidak hairan apabila semakin banyak perbualan dalaman mencurigai wujudnya unsur sabotaj politik secara terselindung. Kegagalan ini terlalu besar, terlalu sistematik dan terlalu ganjil untuk dianggap kesilapan biasa.
Kemenangan Dr Aliakbar membuktikan PN tidak ditolak oleh rakyat Sabah. Yang ditolak ialah calon-calon bersifat “eksperimen” dan strategi lemah yang menghancurkan peluang parti sebelum hari penamaan calon lagi.
Salah Muhyiddin
Sedikit sebanyak Muhyiddin bertanggungjawab atas kekalahan ini kerana membiarkan Hamzah terus berkuasa membuat keputusan. Sabah adalah amaran paling lantang untuk PN dan Bersatu.
Muhyiddin kini berada di persimpangan kritikal. Jika PN ingin pulih dan mengembalikan maruah politiknya, perubahan besar perlu dilakukan — bukan pada peringkat kosmetik, tetapi pada tahap struktur strategik parti.
Beliau mesti menamatkan dominasi tokoh yang mengutamakan kuasa peribadi berbanding strategi, membuka ruang kepada individu lebih teknikal, pragmatik dan benar-benar memahami politik lapangan.
Jika perubahan drastik ini tidak dilakukan segera, PN akan terus tenggelam — bukan kerana kekuatan lawan, tetapi kerana kelemahan dalaman yang dibiarkan berakar dan mereput.
Pilihan di tangan Muhyiddin sebagai nakhoda besar PN.



