AYER MOLEK — Pakatan Harapan (PH) menyifatkan perjalanan kempen calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden serius.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara perkembangan yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung pada petang tadi.
Menurutnya, maklum balas diterima berhubung persiapan dan gerak kerja calon PH di Melaka setakat ini adalah positif.
“Setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Belum ada apa-apa insiden yang terlalu serius melibatkan calon-calon kita dan setakat ini tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini.
“Saya juga belum mendapat apa-apa aduan daripada pihak MCMC setakat ini mengenai kandungan yang dipercayai melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan sesi walkabout bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon PH bagi DUN Ayer Molek, Muhamad Hakimin Mokhtar, di Pasar Malam Ayer Molek, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan menghadapi PRN Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, Majlis Sekretariat dan Majlis Kerja PH juga telah diaktifkan bagi meneliti tahap kesiapsiagaan serta penyelarasan gerak kerja parti.
Mengulas pemantauan media sosial sepanjang PRN Melaka, beliau berkata keadaan setakat ini terkawal dan belum menerima sebarang aduan yang dipanjangkan MCMC kepadanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta maklumat tidak sahih berkaitan proses pengundian.
“Jika berkaitan perjalanan pilihan raya, sumbernya hanya satu, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Rujuk juga kepada media arus perdana, bukan sebarang akaun di media sosial.
“Ada dalam media sosial yang menggunakan nama media sehingga kita menyangka itu media yang sebenar. Jadi, rujuklah kepada media arus perdana,” katanya.



