HRD Corp kini platform sehenti program kemahiran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) kini diberi nafas baru termasuk bakal menggalas tanggungjawab yang

lebih besar sebagai agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan, bukan sahaja untuk golongan pekerja bahkan untuk semua warga Malaysia, selaras dengan penjenamaan baru agensi ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha ini akan diterjemahkan melalui platform bersepadu atau ‘single window’ untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, platform bersepadu ini akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun depan.

“Sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan dijangka seramai 220,000 peserta akan menyertainya dengan pembiayaan kerajaan.

“Selaras dengan misi HRD Corp untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia dengan pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan, saya berharap HRD Corp akan dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang,” katanya pada Majlis Pelancaran Jenama HRD Corp dan Platform Sehenti Program Kemahiran pada Khamis.

Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di atas kemimpinan beliau dalam menjayakan penjenamaan semula dan hala tuju baru HRD Corp.

“Saya yakin, dengan kepimpinan Pengerusi HRD Corp Datuk Seri Jamil Salleh, dan usaha kuat Datuk Shahul Dawood selaku Ketua Eksekutif HRD Corp, dan barisan kempimpinan kanan organisasi ini, HRD Corp akan terus berjaya dalam usaha mengembangkan modal insan negara, bukan sahaja di Malaysia, malah di persada antarabangsa.

“Menjadi harapan saya agar HRD Corp akan terus menyokong usaha pembangunan modal insan melalui lebih banyak program kemahiran, peningkatan kemahiran (atau upskilling) dan kemahiran semula (atau reskilling) yang akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata, peranan HRD Corp menjadi semakin penting sepanjang tempoh 18 bulan ini, apabila ia memperkenalkan pelbagai
program untuk melindungi pekerjaan sedia ada dan mencipta peluang baharu untuk rakyat Malaysia.

“Sepanjang tahun lalu, HRD Corp telah mengagihkan hampir RM420 juta untuk program latihan kemahiran majikan berdaftar yang merangkumi lebih daripada 416,000 pekerja yang menjalani pelbagai skim latihan kemahiran.

“Pada tahun ini, jumlah pungutan levi dijangka mencecah RM680 juta dan sebahagiannya telah digunakan untuk melatih 500,000 pekerja.

“Ia selaras dengan perluasan Akta PSMB 2001 yang menyaksikan peningkatan majikan berdaftar dengan HRD Corp daripada 33,000 majikan kepada 65,400 majikan,” katanya.

Beliau menambah, jumlah ini menunjukkan peningkatan lebih 96 peratus, melibatkan hampir 4 juta pekerja dalam tempoh setahun.

“Berdasarkan pencapaian yang memberangsangkan ini, saya yakin HRD Corp akan menjadikan pengurusan latihan lebih sistematik dan dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan berdasarkan keperluan semasa pihak industri.

“Oleh yang demikian, kerajaan juga telah menetapkan bahawa semua latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Sumber Manusia yang dikendalikan oleh HRD Corp bagi mengelakkan pertindihan,” jelas Ismail Sabri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat