KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan kebimbangan apabila ada sesetengah pihak melakukan salah guna agama untuk kepentingan politik kepartian sehingga menyebabkan ada fatwa yang dikeluarkan bukan dalam konteks yang betul.
Beliau dipercayai mengulas kenyataan oleh seorang tokoh sekolah pondok yang mendakwa usaha mengubah kerajaan yang dilihat adil adalah haram.
Dr Mohd Asri menjelaskan bahawa jika ada pihak yang mengeluarkan fatwa bahawa menukar sesebuah kerajaan melalui sistem pilihan raya itu adalah haram, bererti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mengadakan pilihan raya di peringkat negeri atau Parlimen kerana menyebabkan rakyat membuat perkara yang “haram”.
“Dalam erti kata lain, mengadakan Pilihan Raya Umum atau Negeri merupakan sesuatu yang mungkar, ia akan menyebabkan Perlembagaan kita mengandungi satu kemungkaran yang wajib diubah.
“Ini merupakan pendapat yang sangat pelik bagi sistem demokrasi yang kita amalkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Menurut beliau dalam sistem demokrasi, menukar pemerintah atau mencalonkan pihak lain sebagai pemerintah yang baharu melalui pilihan raya merupakan sesuatu yang berada di bawah peruntukan sistem pemerintahan itu sendiri.
“Ia bukan sesuatu yang bersifat kekerasan atau tumpah darah. Tidak juga ia terkeluar dari peruntukan dalam Perlembagaan Negara atau Negeri.
“Tidak menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta. Bahkan kekerasan dibantah oleh semua pihak,” jelas Dr Asri.
Mengulas lanjut, menjatuhkan pemerintah muslim dengan cara kekerasan sehingga membawa kepada kemafsadan atau kerosakan yang lebih besar dibandingkan kekalnya pemerintah tersebut adalah haram.
“Ini merupakan pendapat yang disepakati oleh Ahlusunnah wal Jamaah. Bahkan al-Imam al-Nawawi rh (wafat 676H) dalam Syarah Sahih Muslim mendakwa hal itu ijmak.
“Pendapat ini disepakati hasil setelah Umat Islam melalui pengalaman pahit khususnya di zaman al-Salaf al-Salih dalam usaha menjatuhkan pemerintahan atau bertembung dengan pemerintah,” katanya.
Katanya, di Malaysia tidak ditemui dengan jelas ada usaha menjatuhkan pemeritah secara kekerasan dan darah.
“Apa yang kita lihat adalah pertarungan atas kertas undi melalui pilihan raya yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Mungkin di sana-sini ada pelanggaran peraturan berkaitan pilihanraya tetapi masih dalam semangat menggunakan undi untuk menukar pemerintahan,” katanya.
Dr Mohd Asri berkata beliau menyokong usaha membentuk kerajaan yang baik dan adil dan menyokong mengekalkan sesiapa yang terbukti baik dan adil atas kerusi pemerintahan.
“Namun, saya tidak menyokong menggunakan fatwa bukan pada tempatnya lalu mengharamkan mengundi parti tertentu atau mewajibkan mengundi parti tertentu atas sentimen politik semata.
“Jika ada bukti atau ternyata parti tertentu boleh merosakkan agama atau negara dengan hujah-hujah yang jelas, maka boleh dikeluarkan fatwa,” katanya.
Beliau mencadangkan jika ada pihak hendak mengeluarkan fatwa mengenali hal ini dalam sistem demokrasi yang sedang berjalan, sebutlah “haram seseorang mengundi sesiapa yang dia percaya akan merosakkan agama, atau negara, atau akan melakukan penyelewengan atau menyalahgunakan kuasa”.
Katanya, selepas itu setiap pengundi wajib ambil peduli siapa yang akan mereka undi kerana ada kemungkinan mereka akan berdosa dan ia akan menjadi besar dosa disebabkan kerosakan yang akan berlaku nanti. – SuaraTV



