200 peserta Maahad Tahfiz timba ilmu kemahiran TVET & keusahawanan menerusi Barista Huffaz Mega Workshop

Oleh Zihan Zari

TAMBUN – Sebagai usaha memperkasa kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar tahfiz, seramai 200 peserta daripada enam Maahad Tahfiz di Perak menyertai Barista Huffaz Mega Workshop 2026 di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin 7, dekat sini baru-baru ini.

Program ini anjuran Unit Pembelaja Sepanjang Hayat, Perak Culinary Arts Academy @ Kolej Komuniti Chenderoh (PCAA@KKCP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Ianya merupakan antara 15 inisiatif yang dilaksanakan sempena program Sambutan Sedekad Sinergi Melakar Legasi Pendidikan Islam Sepanjang Hayat Negeri Perak 2026.

Program ini merupakan antara usaha strategik untuk memperkukuh kerjasama antara Kolej Komuniti Negeri Perak (KKNP) dengan JAIPk yang telah terjalin selama sedekad, kata Pengarah Program Mohd Rashidi Omar.

Menurut beliau, kerjasama tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengembangan ilmu Pendidikan Islam, malah turut membuka ruang kepada pelajar tahfiz untuk memperoleh kemahiran TVET yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan serta kerjaya mereka.

Katanya, inisiatif ini membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh diperkasakan melalui integrasi kemahiran TVET, sekali gus melahirkan huffaz yang berilmu, berkemahiran dan berpotensi dalam bidang keusahawanan.

“Program tersebut memberikan pendedahan kepada peserta tentang pengenalan kopi, asas penyediaan minuman berasaskan kopi dan pengendalian mesin espresso.

“Kemahiran ini diharap dapat membantu peserta meneroka peluang pekerjaan serta membangunkan perniagaan dalam industri makanan dan minuman, khususnya bidang kopi dan perkhidmatan barista, ”katanya lagi.

Turut hadir, Pengarah Perak Culinary Arts Academy @ Kolej Komuniti Chenderoh, Ts. Niza Asyadi Hamzah; dan Timbalan Pengarah Akademik, Siti Nazha Naan.

Kehadiran pihak pengurusan institusi berkenaan mencerminkan sokongan terhadap usaha memperluas akses latihan kemahiran TVET kepada komuniti tahfiz melalui pendekatan Pendidikan Islam Sepanjang
Hayat (PISH).

Ucapan tahniah kepada Unit Pendidikan Sepanjang Hayat kerana berjaya dalam kerjasama dengan JAIPk sepanjang 10 tahun . Semoga kerjasama ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan, kata Ts. Asyadi.

Dalam perkembangan sama, bengkel berkenaan dikendalikan oleh empat tenaga pengajar PCAA@KKCP, iaitu Muhammad Najib Jamil dan Shahrul Hafiz Hj. Sabri daripada Program Operasi Perhotelan, serta Zuriani Zulkafli dan Norkamarul Arifin Kamarudin daripada Program Kulinari.

Penganjuran program ini turut memperlihatkan kepentingan sinergi antara institusi pendidikan, agensi agama dan institusi tahfiz dalam menyediakan peluang
pembelajaran yang relevan dengan keperluan semasa.

Pendekatan berasaskan latihan praktikal dapat membantu peserta meningkatkan keyakinan diri, mengembangkan kreativiti serta mengenal pasti potensi dalam bidang keusahawanan.

Sambutan Sedekad Sinergi Melakar Legasi Pendidikan Islam Sepanjang Hayat Negeri Perak 2026 menjadi wadah untuk meraikan perjalanan kerjasama antara KKNP dengan JAIPk melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan kemahiran, pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti.

Melalui inisiatif seumpama ini, golongan huffaz diharap bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran, malah memiliki kemahiran praktikal yang dapat membantu mereka membina masa depan lebih berdikari, berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat