KUALA LUMPUR- DAP mencabar empat calon MCA yang bertanding pada PRN Melaka berdebat secara terbuka dan menggunakan bahasa Melayu dengan empat calon Pakatan Harapan (PH).
Perkembangan itu susulan cabaran Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong kepada calon DAP kerusi Bandar Hilir, Leng Chau Yen.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata keempat-empat calon PH bersedia membincangkan pelbagai isu berkaitan negeri dan kebajikan rakyat.
“Kita empat calon PH bersedia. Sekarang kita mencabar empat calon MCA untuk berdebat.
“Kita boleh berdebat mengenai semua topik berkaitan Melaka dan kebajikan rakyat. Saya harap MCA menerima cabaran ini supaya satu perbahasan sihat dapat diadakan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Melaka.
Empat calon PH adalah Low Chee Leong (Kota Laksamana), Leng Chau Yen (Bandar Hilir), Farzana Hayani Nasir (Kelebang) dan Ginie Lim (Machap Jaya).
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut mencabar pendahulunya, Ka Siong, berdebat mengenai pencapaian masing-masing ketika menerajui kementerian itu.
Setiausaha Agung DAP itu menyindir Ka Siong yang sebelum ini mencabar Leng berdebat dengan pencabarnya daripada MCA, Jasmine Lok.
Mengulas lanjut, Poay Tiong berkata lokasi debat boleh diputuskan bersama MCA dengan memilih tempat neutral serta mendapatkan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) bebas sebagai pengantara.
Beliau turut mencadangkan debat diadakan dalam bahasa Melayu supaya mudah difahami seluruh rakyat Melaka, selain membenarkan penggunaan bahasa lain termasuk Mandarin.
“Kita mahu debat ini diadakan secepat mungkin dan jangan sampai selepas 14 hari bulan (hari mengundi).
“Jangan hanya sekadar mencabar seorang calon sahaja. Kalau berani, kita empat lawan empat,” katanya menurut FMT di Melaka.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee, berkata debat terbuka memberi ruang untuk membincangkan dakwaan mengenai agenda tersembunyi secara lebih telus, selain menggalakkan persaingan berasaskan dasar.
Beliau berkata, setiausaha agung DAP yang juga timbalan pengerusi PH turut mencabar Wee supaya berdebat pada peringkat kepimpinan parti bagi membincangkan dasar negara, bukan sekadar isu PRN Melaka.
“Kalau nak lawan, lawan semua. Kalau nak berdebat, debat semua. Inilah demokrasi dan persaingan dasar, bukan soal siapa yang lebih menjijikkan,” katanya.



