KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik di bawah kerangka Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) khususnya Misi 4 iaitu Safeguard Economic Security and Inclusivity bagi memastikan proses transformasi industri tidak menjejaskan ekosistem serta daya tahan rantaian bekalan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelbagai kemudahan kewangan disediakan bagi membantu syarikat tempatan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam mengadaptasi teknologi Industri 4.0.
Antaranya kata beliau Geran Automasi Pintar (SAG) & SAG MADANI: Peruntukan geran padanan bagi PKS dan Syarikat Pertengahan (Mid-Tier Companies – MTC) yang dikendalikan oleh MIDA untuk automasi dan digitalisasi proses pengeluaran serta perkhidmatan bagi tempoh pelaksanaan sehingga 18 bulan.
“Selain itu, kemudahan Pembiayaan Mudah Perindustrian: Soft Financing Scheme for Automation and Modernisation (SFSAM) iaitu pembiayaan melalui Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), dan bank-bank komersial bagi pembelian mesin serta aset teknologi.
“Pada masa sama, turut disediakan Elaun Modal Automasi (Automation Capital Allowance – Automation CA): Insentif cukai tuntutan elaun modal sebanyak 200 peratus ke atas perbelanjaan modal automasi yang layak sehingga had RM10 juta bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Permohonan insentif ini telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 di mana MIDA bertindak sebagai agensi utama yang memproses permohonan dan SIRIM melaksanakan verifikasi teknikal produktiviti,” katanya di Dewan Rakyat menurut Malaysia Gazette pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang meminta kementerian menyatakan apakah langkah kerajaan untuk memastikan ekosistem dan daya tahan rantaian bekalan negara tidak dilemahkan.
Johari menambah, secara keseluruhannya, pelan transformasi dan peralihan untuk meningkatkan keupayaan industri pembuatan negara ke tahap yang lebih tinggi merangkumi peralihan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi, penerapan teknologi termaju, pengeluaran yang lebih lestari serta pengukuhan rantaian bekalan domestik.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan transformasi industri negara dilaksanakan secara terancang dan bukan melalui pemindahan keluar industri secara menyeluruh berdasarkan tahap teknologi semata-mata,” katanya.



