SonaOne lepas geram

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pernah berdepan dengan bebanan dan sakit hati apabila karya ciptaannya kurang menjadi membuatkan penyanyi Hip Hop, SonaOne menukar objektif asalnya dalam pembikinan lagu.

Jika sebelum ini begitu cerewet dan teliti dalam berkarya, kini SonaOne lebih bersikap terbuka dan santai dalam menghasilkannya.

SonaOne berkata, dia tidak meletakkan sebarang konsep kerana enggan menyekat kreativiti untuk album terbaharu, sekali gus menjadikannya tertekan seperti yang pernah dialaminya.

“Untuk lagu dalam album yang masih dalam pembikinan ini, tidak akan ada sebarang konsep. Ia umpama buku ‘skrap’ buat saya. Saya boleh menghasilkan lagu berdasarkan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran.

“Seperti buku lukisan yang mengandungi contengan tanpa mempunyai sebarang makna. Saya luahkan apa yang terbuku dalam fikiran menerusi album berkenaan.

“Boleh juga umpamakan seperti album lepas geram. Jika saya tulis lagu yang ada konsep atau cerita, saya jadi tertekan. Dalam berkarya, saya tak boleh menjadikan ia seperti sedang bekerja. Jika itu yang diamalkan, ia akan memberi bebanan dan tekanan buat saya,” katanya kepada BH Online.

 

SonaOne berpadu suara dengan Kidd Santhe menerusi single terbaharu, Kuey Teow. - Foto IG SonaOne
SonaOne berpadu suara dengan Kidd Santhe menerusi single terbaharu, Kuey Teow. – Foto IG SonaOne

 

Belajar daripada pengalaman lalu, pemilik nama sebenar, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach itu mahu karya ciptaannya lebih seronok didengar.

“Sebelum ini, sebaik usai merakamkan sesebuah lagu, saya akan dengar balik dan mencari bahagian mana yang boleh diperbaiki. Saya jadi begitu cerewet dan terlalu teliti, sebelum berpuas hati dengan hasilnya.

“Tetapi sekarang, objektif saya adalah buat lagu untuk berseronok. Buat lagu yang bagus tanpa memfokuskan pada makna di sebaliknya.

“Apa yang dirakamkan, itulah yang akan didengar peminat tanpa perlu ada perubahan ataupun tapisan. Jujurnya, saya sudah tidak kisah jika lagu yang dihasilkan dapat diterima ramai ataupun sebaliknya,” katanya.

Penyanyi lagu Havoc itu berkata, dia tidak memeningkan kepala memikirkan soal berkenaan.

“Jika lagu jadi popular, saya anggap bonus. Sekiranya tidak, tak perlu nak ambil hati. Lagu umpama makanan ataupun fesyen, tak semua orang boleh terima. Setiap orang ada intepretasi yang tersendiri terhadap muzik,” tegas penyanyi berusia 31 tahun itu.

Terdahulu, penyanyi yang pernah berkolaborasi dengan Joe Flizzow menerusi lagu Apa Khabar itu melancarkan single terbaharunya berjudul Kuey Teow, baru-baru ini. Single berkenaan menyaksikan SonaOne berpadu suara dengan Kidd Santhe.

Mengulas lanjut single berkenaan, SonaOne berkata, lagu berkenaan tiada sebarang kaitan dengan makanan seperti yang disangkakan.

“Melodi dan lirik single ini dihasilkan secara rawak. Secara kebetulan, judulnya pula kedengaran agak ‘cool’ membuatkan saya memilih untuk menjadikannya sebagai judul single ini,” cerita SonaOne.

Single Kuey Teow dimuatkan dalam album berjudul Freestyle Play yang boleh didapati di semua pelantar digital.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat