12 filem 2 tahun

- Advertisement -

Syarikat produksi Zebra Studio Sdn Bhd dan Tremendous Entertainment menandatangani perjanjian usaha sama multi-filem dengan komitmen untuk menghasilkan 12 filem dalam tempoh 24 bulan akan datang.

Pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim berkata, kerjasama ini diharapkan dapat membaik pulih industri perfileman tempatan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

Katanya, ia bukan saja akan memberi dorongan kepada industri filem dan produksi tempatan, tetapi juga akan memberi peluang untuk kandungan Malaysia dipersembahkan di peringkat antarabangsa.

“Tremendous Entertainment adalah syarikat terkemuka dalam penghasilan kandungan hiburan di kedua-dua ruang pentas dan media. Dengan kekurangan kandungan hiburan secara langsung dalam keadaan pandemik, kami mengambil kesempatan ini untuk fokus kepada industri media kami dalam 18 bulan ini.

“Penghasilan filem-filem dengan kerjasama bersama Zebra Studio ini adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan kami untuk memanfaatkan bakat dan infrastruktur yang lebih mantap di Malaysia bagi menghasilkan filem bertaraf antarabangsa,” katanya.

“Perjanjian yang dibuat itu menuju kepada visi kami untuk memperluaskan Tremendous ke arah pendigitalan ketika beralih dari pameran acara ‘stage play’ untuk menghasilkan kandungan media digital dan sekarang ke filem.

“Kami teruja dapat bekerjasama dengan CL Hor dan Sara Nattaya Azmi dari Zebra untuk menghasilkan dan membuat filem-filem ini dengan niat untuk mempamerkannya kepada dunia, kerana kami percaya bahawa kandungan yang dihasilkan oleh Malaysia berpotensi tinggi untuk berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menerusi perjanjian itu, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio akan menghasilkan lima filem dialek Melayu di sekitar Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, dan Selangor dan empat tempatan dialek Cina yang difokuskan di Perak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Lebih menarik, terdapat tiga filem tempatan berbahasa Inggeris akan dihasilkan bersama dan difilemkan di negara jiran termasuk Korea Selatan, China, Indonesia, India dan banyak lagi.

 

SARA dan Jared yakin kandungan tempatan mampu menyinar di persada antarabangsa.
SARA dan Jared yakin kandungan tempatan mampu menyinar di persada antarabangsa.

 

Sementara itu, pengasas merangkap Pengarah dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Sara Nattaya Azmi berkata, Tremendous Entertainment adalah salah satu syarikat hiburan terkemuka di Asia Pasifik yang menghasilkan dan mempersembahkan beberapa tajuk hiburan paling terkenal di dunia.

“Dengan usaha sama ini, kami berharap penghasilan 12 filem ini dapat membantu membina semula dan memudahkan pemulihan industri perfileman tempatan yang membolehkan kami bersama-sama mencipta lebih banyak kandungan global.

“Ia bertujuan mendapatkan sorotan antarabangsa mengenai filem dialek khas seni dan budaya Malaysia serta memberi peluang kepada seniman tempatan kita untuk berjaya di peringkat global,” katanya.

Diketuai oleh pengarah pemenang anugerah antarabangsa CL Hor, Zebra Studio mempunyai ekosistem pengeluaran yang dilengkapi dengan teknologi terkini mulai dari kemudahan audio hingga pos dan VFX.

Bersinergi dengan pasukan kreatif yang mahir dari Zebra Pixel yang diketuai oleh Penyelia VFX Hollywood, Jae Cheol Hong, Zebra Studio dan Pixel dapat memperkaya kandungan Malaysia melalui penghasilan dan konseptualisasi kandungan inovatif di platform media tradisional dan baru.

CL Hor berkata, ia adalah produksi bersama syarikat filem tempatan pertama yang berlaku selama lebih dari satu abad di industri filem Malaysia.

“Menerusi inisiatif ini, kami ingin memberikan harapan dan sokongan kepada rakan-rakan industri kami semasa wabak ini merebak.

“Konsep saya adalah untuk membawa kandungan tempatan untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa dan menjadikan Malaysia tempat untuk menghasilkan kandungan antarabangsa,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,561FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat