SEREMBAN – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap kepercayaan dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan isyarat jelas rakyat menerima penyatuan ummah yang dijalin antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Hadi optimis kejayaan persefahaman politik PN-BN akan menjadi pencetus kepada gelombang perubahan yang lebih besar.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi Negeri Sembilan atas kepercayaan yang diberikan kepada PN dalam PRN Negeri Sembilan.
“Keputusan ini merupakan suatu isyarat jelas bahawa rakyat menerima usaha penyatuan ummah yang berteraskan keadilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk.
“Insya-Allah, kejayaan ini akan menjadi pencetus kepada gelombang perubahan yang lebih besar dalam usaha memulihkan negara, di samping membina sebuah pentadbiran yang bersih, prihatin, dan stabil,”. kata Ahli Parlimen Marang itu.
Menurut Hadi lagi, Pas menginsafi besarnya tanggungjawab dan kepercayaan ini.
“Keutamaan adalah untuk mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, para calon, petugas serta jentera parti yang telah bekerja dalam satu saf bagi memastikan kejayaan PN-BN pada hari ini.
“Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan kekuatan kepada kita untuk menunaikan
amanah rakyat dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.



