KOTA KINABALU – Tiga pelajar yang dikaitkan dengan siasatan kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, masih meneruskan persekolahan seperti biasa dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan individu kenamaan (VIP).
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN), Datuk Raisin Saidin, yang memaklumkan bahawa ketiga-tiga pelajar terbabit juga tidak dihentikan atau dipindahkan ke institusi lain.
“Semua pelajar itu masih bersekolah, tiada yang berhenti sekolah. Juga tiada kaitan dengan orang kenamaan dan pihak polis,” katanya ringkas.
Menurut laporan Sinar Harian, kenyataan tersebut dibuat bagi menjawab spekulasi yang tersebar luas di media sosial, termasuk dakwaan kononnya pelajar-pelajar yang dipanggil memberi keterangan merupakan anak kepada individu berpengaruh.
Raisin turut menjelaskan bahawa pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, dan JPN Sabah akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Sebelum ini, tiga nama yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina — dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ — telah menjadi tular di media sosial, mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen. Pihak polis kemudiannya mengesahkan bahawa kesemua individu tersebut adalah pelajar di sekolah berkenaan dan telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama. Kejadian itu telah menimbulkan kemarahan masyarakat, khususnya selepas timbul dakwaan bahawa mangsa dibuli sebelum kejadian berlaku.



