Afrika Selatan Suntik Bahan Radioaktif ke Tanduk Badak Sumbu Banteras Pemburuan Haram

JOHANNESBURG, 1 Ogos – Dalam langkah inovatif untuk membanteras kegiatan pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar, sekumpulan saintis di Afrika Selatan telah memulakan satu inisiatif luar biasa dengan menyuntik bahan radioaktif ke dalam tanduk badak sumbu.

Dikenali sebagai Projek Rhisotope, kaedah ini dibangunkan oleh penyelidik dari Universiti Witwatersrand dan telah menerima kelulusan rasmi untuk pelaksanaan selepas enam tahun kajian dan ujian keselamatan intensif.

Menurut Profesor James Larkin, Ketua Saintis Projek Rhisotope, suntikan bahan radioaktif ini tidak membahayakan haiwan dan mampu mengesan tanduk yang diseludup menggunakan sistem keselamatan nuklear di seluruh dunia.

“Kami telah membuktikan, secara saintifik, bahawa prosedur ini selamat sepenuhnya untuk badak sumbu dan berkesan dalam menjadikan tanduk mereka mudah dikesan di pintu masuk kastam antarabangsa,” kata Larkin.

Projek ini turut mendapat sokongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Ketua Pengarahnya, Rafael Mariano Grossi, menyifatkan usaha ini sebagai contoh cemerlang bagaimana sains nuklear boleh dimanfaatkan untuk menangani cabaran alam sekitar sejagat.

“Dengan menggunakan infrastruktur keselamatan nuklear yang sedia ada, kita dapat melindungi spesies ikonik dunia yang sedang diancam kepupusan,” ujarnya.

Dalam kajian perintis tahun lalu, seramai 20 ekor badak sumbu telah disuntik, dan analisis menggunakan teknik biodosimetri mengesahkan tiada kesan kerosakan sel pada haiwan tersebut.

Tahun ini, lima ekor badak sumbu lagi telah menerima suntikan radioaktif, sebagai fasa pertama pelaksanaan sebenar selepas kelulusan diperoleh. Ujian juga membuktikan bahawa tanduk yang disuntik boleh dikesan walaupun disorok dalam kontena besar 40 kaki.

Pihak universiti kini menggalakkan pemilik badak sumbu – sama ada individu mahupun organisasi pemuliharaan – untuk tampil dan menyertai program suntikan ini.

Afrika Selatan merupakan negara yang menempatkan populasi badak sumbu terbesar di dunia, namun kehilangan lebih 10,000 ekor akibat pemburuan haram dalam tempoh sedekad lalu. Dalam suku pertama tahun 2025 sahaja, sebanyak 103 ekor badak sumbu dibunuh, menurut Kementerian Perhutanan, Perikanan dan Alam Sekitar negara itu.

Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), populasi badak sumbu global yang pernah mencecah 500,000 ekor pada awal abad ke-20, kini hanya tinggal sekitar 27,000 ekor sahaja.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat