Kursi Tun Dr. Ismail Di UKM Bertunjang Perpaduan, Integrasi Kaum – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk membentuk Kursi Tun Dr. Ismail di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kata Anwar pembentukan kursi ini bagi menghargai legasi kepimpinan dan cetusan pemikiran Tun Dr. Ismail Al-Haj yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi kaum.

“Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk membentuk Kursi Tun Dr. Ismail di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Usaha serta pengiktirafan ini adalah bagi memberi ruang kepada generasi muda dan penerus untuk menyemangati sumbangan pahlawan bangsa dan negarawan ulung Tun Dr. Ismail Al-Haj khususnya dalam aspek perpaduan dan penyatuan kaum.

“Semoga lebih banyak penyelidikan dapat diwacanakan dalam pelbagai bidang sosioekonomi, pentadbiran dan kenegaraan dengan adanya kursi ini,” jelas Perdana Menteri dalam kenyataan media pada Rabu.

Terdahulu dalam ucapannya di Dataran Merdeka, Perdana Menteri menggesa generasi muda meneladani ketegasan dan integriti tinggi yang menjadi pegangan utuh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Mengimbau pengalaman ketika bersemuka dengan Tun Dr Ismail ketika bergelar pemimpin mahasiswa, Amwar berkata dua nilai berkenaan perlu disemat sebagai pegangan anak muda.

Ini kerana, beliau berkata generasi muda mempunyai tanggungjawab besar terutamanya untuk menyelamatkan negara.

“Satu aspek lain kita perlu belajar adalah soal integriti dalam politik, bagaimana mampu kita lahirkan generasi sekarang… orang yang tumpuannya itu semata-mata untuk kita lahirkan generasi termasuk anak muda yang terpahat dengan prinsip yang sama iaitu sama-sama membangun menolak kebejatan sosial, rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Kita harus menyoal bagaimana, apakah masalahnya puluhan tahun kemudian, ada tokoh-tokoh tak mahu saya sebutkan… yang sukar ditandingi dan disaingi prinsip integriti sedemikian, yang suarakan ketegasan, punya peribadi sosok menentang rasuah, tatakelola baik dan digeruni rakyat.

“Mari kita doa mudah-mudahan semangat itu terpancar dan dihadam oleh anak muda terutamanya, bahawa kita punya tugas dan tanggungjawab menyelamatkan negara dan menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dengan menggali khazanah dan menjadikan cita-cita murni pahlawan bangsa serta negarawan ulung terutama Tun Dr Ismail sebagai perjuangannya.

“Perkara ini perlu hidup dalam negara kita, negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis memperingati negarawan ‘Tonggak Perpaduan Negara’ sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka pada Rabu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat