Sambutan UMNO Bukan Sekadar Mengenang Sejarah, Fokus Hala Tuju Masa Depan — Setiausaha Agung

KUALA LUMPUR,— Sambutan ulang tahun ke-80 UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya menjadi medan penting untuk memperkukuh halatuju dan masa depan parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen julung kali diadakan itu menghimpunkan seluruh keluarga besar UMNO dalam usaha menyatukan kekuatan serta memperjelas arah perjuangan parti.

“Bagi pihak Ibu Pejabat UMNO, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga dan keluarga besar UMNO atas kehadiran ke Konvensyen 80 Tahun UMNO ini.

“Sambutan ini bukan sekadar simbolik atau ceremonial, tetapi membawa makna besar bukan sahaja mengenang sejarah, malah menentukan hala tuju masa depan,” katanya dalam ucapan aluan di sini, hari ini.

Menurut beliau, sambutan yang berlangsung selama lima hari hingga 5 Mei itu dirangka dengan pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada rakyat, selari dengan peranan UMNO yang sejak penubuhannya tidak pernah terpisah daripada denyut nadi masyarakat.

Beliau berkata, penganjuran program tersebut turut digabungkan dengan sambutan 60 tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta 70 tahun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sebagai simbol kepada legasi institusi yang lahir daripada perjuangan UMNO.

Dalam pada itu, Asyraf memaklumkan sambutan hari pertama mencatatkan kehadiran memberangsangkan seramai 35,954 pengunjung dari pagi hingga malam.

Katanya, kejayaan penganjuran Kongres Pendidikan Bumiputera buat kali pertama turut menjadi antara pencapaian penting, sekali gus melengkapkan usaha sebelum ini melalui Kongres Ekonomi Bumiputera.

“Malah, sejak pembukaan pendaftaran keahlian secara dalam talian pada 20 April lalu hingga pagi ini, UMNO merekodkan 13,954 keahlian baharu.

“Daripada jumlah itu, Pemuda mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 8,233 orang, diikuti Puteri 1,260 dan Wanita 1,240, dengan Johor, Pahang dan Perak sebagai negeri tertinggi,” katanya.

Beliau menegaskan, pendekatan baharu mempermudah proses keahlian itu merupakan satu perubahan besar yang membuka ruang kepada generasi muda untuk menyertai UMNO tanpa halangan.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata sambutan 80 tahun UMNO menjadi titik penting untuk parti itu bukan sahaja menilai sejarah, tetapi merangka strategi masa depan melalui amanat kepimpinan tertinggi parti.

“Perjuangan ini bukan jalan mudah. Jalannya panjang dan penuh cabaran. Namun UMNO kekal sebagai parti yang berpegang kepada matlamat memelihara agama, memartabatkan bangsa dan memastikan negara terus makmur serta berdaulat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua urus setia dan pihak yang menjayakan sambutan tersebut, selain mengajak orang ramai mengunjungi pelbagai program pendidikan dan keusahawanan yang dianjurkan sepanjang konvensyen.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru semangat kebangkitan parti dengan laungan “UMNO Bangkit Kembali” yang disambut para hadirin.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat