KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula Barisan Nasional (BN) tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata sebaliknya Ia mesti mencerminkan perubahan cara berfikir, strategi dan budaya politik.
Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, idea lama bahawa BN mesti bertanding separuh daripada jumlah kerusi sudah tidak lagi relevan.
Ujar bekas Ketua Menteri Sabah itu, formula itu lahir daripada era politik dominasi yang berbeza dengan keadaan hari ini.
“Kenyataan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, mengenai penjenamaan semula adalah tepat pada masanya. Ia menunjukkan kesedaran bahawa landskap politik telah berubah.
“Politik hari ini berasaskan gabungan, rundingan dan kerjasama strategik. Kekuatan bukan diukur melalui jumlah kerusi yang ditandingi, tetapi keupayaan membentuk kerajaan yang stabil.
“Pengundi kini mahukan dasar yang jelas, hala tuju ekonomi yang meyakinkan, integriti dan penyelesaian praktikal. Pendekatan terlalu ideologikal atau konfrontasi sudah tidak lagi menjadi pilihan utama.
“Pembaharuan BN mesti menumpukan kepada kredibiliti, kejelasan dasar dan kemampuan bekerjasama. Pendekatan bergerak sendirian bukan strategi yang sesuai dalam suasana politik semasa.
“Penjenamaan sebenar bermaksud beralih daripada simbol kepada substansi — daripada mengejar angka kepada memberi hasil,” kata Salleh.



