CYBERJAYA – Kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Akmal Saleh, berhubung kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mencetuskan perhatian warganet apabila dikaitkan dengan isu sensitiviti agama yang tular baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran, Perdana Menteri menulis:
“Melalak ‘tiada tindakan’ tidak menjadikannya benar. Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi di ruangan komen.
Selamat berbuka semua!”
Walaupun kenyataan tersebut tidak merujuk secara khusus kepada mana-mana isu, sebahagian pengguna media sosial mengaitkannya dengan dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap insiden al-Quran dipijak yang tersebar di media sosial sebelum ini.
Akmal pula dipercayai membalas dengan kenyataan berbunyi:
“Lebih baik melalak mempertahankan agama daripada sembang berdegar tapi semua membohong!!! Bodoh!!!”
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara jelas bahawa kenyataan itu ditujukan kepada Perdana Menteri mahupun merujuk kepada hantaran tertentu.
Perkembangan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ada yang menyokong pendirian mempertahankan agama, manakala sebahagian lain menegaskan agar perkara berkenaan diserahkan kepada proses siasatan dan tindakan mengikut lunas undang-undang. Setakat ini, tiada penjelasan lanjut dikeluarkan oleh kedua-dua pihak berhubung dakwaan kaitan antara kedua-dua hantaran tersebut.



