Kes Pijak Al-Quran Diurus Ikut Undang-Undang, Bukan Emosi – Anwar

Cyberjaya – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tidak pernah berkompromi dalam isu penghinaan terhadap agama, khususnya melibatkan insiden memijak al-Quran yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau, Anwar berkata prinsip kerajaan jelas bahawa sama sekali tidak boleh mengizinkan mana-mana pihak menghina atau memperlekehkan al-Quran.

“Dalam kes pijak Al-Quran, prinsip kita jelas yakni tidak boleh sama sekali kita mengizinkan sesiapa menghina Al-Quran, apatah lagi memperlekehkannya. Dalam hal ini, pendirian kita tegas dan tidak berkompromi. Namun langkahnya mesti menurut jalur undang-undang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hukuman bukan dilaksanakan di jalanan atau di media sosial, sebaliknya menjadi bidang kuasa mahkamah.

Dalam rakaman video penjelasannya, Anwar menjawab dakwaan kononnya kerajaan tidak tegas dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang menimbulkan kekusutan dan pelanggaran hukum berkaitan agama.

“Negara ini negara hukum. Kita tidak boleh ketepikan dasar tuntutan undang-undang dalam pertindakan. Islam agama Persekutuan dan kita tidak boleh pandang ringan terhadap apa-apa unsur penghinaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan tindakan telah pun diambil oleh pihak berkuasa termasuk penahanan individu terlibat serta siasatan lanjut.

“Siapa kata tidak ada tindakan? Jangan tunjuk kita gopoh dan tidak sabar. Polis telah mengambil tindakan, telah menangkap yang berkenaan kemudian lakukan siasatan,” katanya.

Menurut beliau, proses seterusnya perlu melalui pertimbangan undang-undang termasuk penilaian oleh mahkamah sebelum sebarang hukuman dijatuhkan.

Anwar turut mengingatkan bahawa dalam menangani isu sensitif melibatkan agama, pendekatan mesti berlandaskan undang-undang bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Kita ini pendakwah, bukan penghukum. Penghukum itu tugas kadi dan hakim,” katanya sambil menegaskan kerajaan akan terus bertindak tegas terhadap sebarang penghinaan agama tanpa mengabaikan prinsip keadilan dan proses perundangan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat