BUKIT GAMBIR – Datuk Seri Najib Razak sedang berdepan pengadilan undang-undang, ini jelas menidakkan tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘sabotaj’ usaha pembangkang menyekat kemaraan pemimpin kleptokrat.

Muhyiddin menyangkal tuduhan Mahathir yang mengatakan beliau sibuk mengejar jawatan Perdana Menteri sehingga sanggup menjalin kerjasama dengan kluster mahkamah dan kumpulan kleptokrat.

“Apakah ada saya pula dikatakan menggagalkan usaha untuk menghadapkan Najib terhadap apa-apa perkara yang mereka lakukan (salah guna kuasa).

“Saya menentang mereka (kleptokrat). Sebab itu saya jatuh… disebabkan saya tentang apa yang mereka lakukan dan saya tak bersedia untuk kompromi dengan apa yang telah dilakukan… kebobrokan rasuah salah guna kuasa,” bidas Muhyiddin menjawab tuduhan Mahathir.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika ditemui media di Pekan Bukit Gambir menyantuni masyarakat Cina di sini pada Rabu.

Muhyiddin berkata, beliau tidak menyokong kumpulan perasuah seperti didakwa Mahathir.

“…Jadi saya fikir Najib sudah dihadapkan ke muka pengadilan, mahkamah akan buat keputusan.

” Ini bukan soal politik lagi, ini soal undang-undang. Itu saya fikir lebih utama,” ujar Muhyiddin.

Hari ini Mahathir dalam utusan suratnya kepada pengundi Johor mengingatkan tentang bahana bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah.

Beliau memberitahu pernah mengingatkan Muhyiddin tentang bahaya menantinya apabila memilih bersama puak kleptokrat namun tidak diendahkannya kerana mengejar jawatan Perdana Menteri.

“Saya telah ingatkan bahawa bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah UMNO seumpama menunggang harimau dan dia akan akhirnya dibaham.

“Apa yang kita jangka sudah terjadi. Tan Sri Muhyiddin dikhianati oleh UMNO, hilang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan sahaja.

“Inilah hasil dari mengutamakan politik dan bukan prinsip,” katanya dalam surat itu.