BUKIT GAMBIR – Peneroka Felda seharusnya sedar parti mana yang menolong mereka menghapuskan hutang dan parti mana yang ‘menyusahkan’ mereka,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ujarnya dalam siri-siri ceramah di kawasan Felda beliau memberi pencerahan kepada peneroka di sana tentang kejayaan PN menyelesaikan hutan mereka sebanyak RM83 bilion.

Kata Muhyiddin, tujuannya ke Felda untuk menyampaikan berita tentang apa kerajaan PN sebelum ini telah lakukan untuk Felda.

“Kerana tujuannya (masuk Felda) kita menyampaikan berita tentang apa yang kita (PN) telah lakukan untuk Felda.

“Supaya mereka tak lupa bahawa waktu zaman Barisan Nasional (BN) dulu banyak perkara sudah berlaku.

“Umum maklum Felda menjadi institusi penting hartanah terbesar di dunia boleh menanggung rugi dan bagaimana penyenaraian FGV yang tak disukai peneroka membawa kerugian yang besar.

“Bagaimana soal pembelian Eagle High Plantations yang di arah Perdana Menteri (sebelum ini) membawa kerugian dengan pembelian harga 2 kali lebih tinggi dan masalah-masalah lain,” ujar Muhyiddin.

Kata beliau dalam tempoh singkat memegang tampuk pemerintahan negara mampu melupuskan hutang Felda yang menjadi beban peneroka.

“Saya jadi Perdana Menteri dalam tempoh setahun lebih, saya telah selesaikan hampir semua masalah utama, hutang mereka RM83 bilion sayaa hapuskan, itu sudah bertahun-tahun zaman UMNO-BN tak selesai .

“Saya selesaikan, lepas itu RM99 bilion saya dapatkan pinjaman sukuk dengan jaminan kerajaan untuk pulihkan balik.

“Lepas itu penyenaraian FGV saya dah beli balik saham-saham di mana lebih 80 peratus dimiliki peneroka atau felda dan lain-lain lagi.

“… jadi sebab itu nak peringatkan mereka siapa yang melakukan kesalahan, siapa menyebabkan mereka menangung beban hutang, siapa menyelesaikan masalah mereka,

“Jadi saya bukan fokus soal kubu kuat BN, yang penting peneroka Felda faham apa PN lakukan dan sewajarnya mereka memberikan sokongan kepada kita,”katanya.

Pada Julai 2021, kerajaan PN bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Menurut Muhyiddin persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.