Forum Islam & Kepimpinan Wanita, Comwel Mencetus Pemikiran Progresif

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff.

Baru-baru ini bertempat di Berjaya Hotel, Kuala Lumpur, Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Council of Women Political Leaders @ COMWEL) telah mengadakan satu sesi perbincangan melalui Forum Islam & Kepimpinan Wanita, bagi membincangkan aspek kepimpinan wanita dari kerangka Islamik.

Organisasi yang dipimpin oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin ini mengetengahkan perbincangan konsep kepimpinan wanita dalam konteks pandangan Islam yang lebih progresif dan dinamik.

Sebelum ini, sekiranya kita membincangan mengenai kempimpinan wanita ataupun agenda pemberdayaan wanita di Malaysia, kebanyakkan masanya kita akan bergantung kepada falsafah feminisma barat, yang mungkin tidak sesuai dengan adat dan norma kehidupan kita di Malaysia.

Sebagai sebuah negara yang agama persekutuannya adalah Islam, adalah penting setiap perkara yang dibincangkan di dalam negara ini harus mengambil kira elemen-elemen dan pandangan Islamik, supaya tidak bercanggah dengan agama atau mencarik adat.

Sungguhpun negara kita dilihat sebagai sebuah negara yang progresif dari sudut pembangunan, kita masih lagi terkebelakang dalam agenda pemberdayaan wanita, khususnya dari konteks kepimpinan wanita di dalam pelbagai industri, sektor dan bidang.

Antara kesan yang dapat dilihat pada ketika ini adalah apabila pengisian jawatan-jawatan pembuat keputusan didalam jabatan kerajaan, kepimpinan politik dan juga sektor korporat masih lagi tidak mencapai 30% perwakilan wanita di dalam kepimpinan sepertimana yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Agenda ke-5, Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) iaitu untuk memperkasa wanita dan kanak-kanak perempuan.

Ada yang mengatakan bahawa disebabkan faktor agama Islam dan adat di nusantara yang menyebabkan kepimpinan wanita tidak diterima, sedangkan jika kita menyingkap sejarah Islam dan juga sejarah rantau ini, wanita telahpun diletakkan di posisi kepimpinan lebih terdahulu berbanding apa yang telah berlaku di barat pada era yang sama.

Di Nusantara, kita melihat bagaimana pemimpin-pemimpin wanita seperti Megawati Sukarnoputri, mantan Presiden Indonesia dan juga Gloria Macapagal Arroyo, mantan Presiden Filipina telah berjaya menjadi pemimpin utama kedua-dua negara ini.

Di dalam konteks sejarah Islam pula, liputan sejarah merekodkan bagaimana Saidatina Khadijah Binti Khuwaylid, isteri pertama Rasulullah S.A.W. yang merupakan seorang tokoh korporat tersohor pada zamannya.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa tiada lagi alasan bahawa Islam atau nusantara menghalang wanita untuk menjadi pemimpin. Namun, hakikatnya pada ketika ini, perkara ini tidak begitu diketengahkan kerana persepsi tertentu masyarakat yang tidak menyedari perkara ini.

Mengambil contoh lain, pada tahun 2020, Kementerian Pengajian Tinggi menerima 58,668 permohonan lepasan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan setaraf melanjutkan pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2020/2021 di 20 universiti awam. Daripada jumlah itu, seramai 40,559 perempuan (69 peratus) dan 18,109 lelaki (31 peratus) ditawarkan tempat.

Ini bermaksud, wanita mempunyai kapasiti untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi, namun jumlah graduan dan penyertaan pendidikan di institusi pengajian tinggi ini tidak selari dengan jumlah golongan wanita di Malaysia yang mempunyai jawatan-jawatan pembuat keputusan di negara ini.

Penulis percaya, persepsi masyarakat dan pemikiran komuniti memainkan peranan yang penting dalam memacu penyertaan golongan wanita sebagai pemimpin di negara ini. Adakah disebabkan jantina mereka adalah perempuan, individu-individu yang berkaliber berkemampuan ini tidak diberikan tempat untuk berkhidmat sebagai pemimpin?

COMWEL telah menyediakan satu platform yang amat baik untuk negara ini berusaha ke arah pemberdayaan yang lebih jitu untuk wanita, yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih progresif dan membangun.

Forum Islam & Kepimpinan Wanita 2021 ini akan menjadi titik tolak kepada perubahan pemikiran masyarakat, sekaligus mencetus perubahan paradigma yang amat diperlukan di Malaysia.

Dengan penyertaan tokoh-tokoh hebat seperti YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita & Masyarakat), YAA Dato’ Setia Dr. Hj Mohd Na’im Bin Hj Mokhtar (Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia) dan Prof. Madya Dr Nik Salida Suhaila (SUHAKAM), forum ini telah mengetengahkan idea-idea progresif mengenai konsep kepimpinan wanita dalam Islam yang seharusnya menjadi panduan untuk pemerkasaan dan pemberdayaan wanita di dalam negara ini.

Penulis berharap COMWEL akan menganjurkan lebih banyak forum-forum seperti ini, yang dapat memberikan impak yang lebih besar kepada pembangunan intelektual dan mengubah persepsi rakyat dan pemimpin di Malaysia mengenai isu-isu kepimpinan wanita, yang mana hanya dengan usaha yang berterusan ia boleh mendatangkan impak positif kepada pembangunan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat