Menteri tidak wajar buli wartawan Tan Sri Johan Jaaffar

KUALA LUMPUR, — Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar hari ini menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa mempersoalkan pertanyaan seorang wartawan ketika pelancaran projek pencahayaan bandar “I Lite U.”

Dalam kenyataan medianya, beliau menegaskan bahawa tindakan menteri tersebut tidak wajar dan mencerminkan sikap angkuh terhadap profesion kewartawanan.

“Saya mendesak beliau meminta maaf kepada wartawan berkenaan dan komuniti wartawan seluruhnya. Wartawan berhak menanyakan sebarang soalan, dan sebagai menteri, Nga Kor Ming sepatutnya memberikan jawapan yang baik, munasabah dan tidak angkuh,” katanya.

Tan Sri Johan turut mengecam ugutan menteri itu yang didakwa mahu menghubungi ketua pengarang wartawan berkenaan.

“Tindakan seperti ini menambah lagi masalah komunikasi antara kerajaan dan media, serta bertentangan dengan prinsip keterbukaan dan toleransi terhadap media yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa menteri tidak boleh dilihat menggunakan kuasa atau kedudukan untuk membuli atau mengintimidasi wartawan.

“Wartawan sepatutnya dihargai dan dihormati profesion mereka, bukan dipersoal dan diugut,” tegasnya.

Dalam kenyataan yang sama, Tan Sri Johan turut mengkritik penggunaan slogan Bahasa Inggeris dalam kempen peringkat nasional seperti “I Lite U,” sambil menegaskan bahawa ia tidak selaras dengan peranan institusi bahasa kebangsaan.

“Sebagai mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya tidak dapat menerima penggunaan ungkapan Bahasa Inggeris untuk kempen nasional. Sekadar menceriakan wajah kota sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 tidak memerlukan ungkapan seperti itu,” ujarnya. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat