Musim haji 2026 bakal menyaksikan kehadiran lebih 31,000 jemaah Malaysia ke Tanah Suci, dengan penyertaan 37 syarikat yang sah berlesen sebagai Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji (TH).
Antara syarikat yang menerima lesen rasmi tahun ini ialah Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn. Bhd, yang turut mengumumkan pelantikan penyanyi dan penerbit muzik terkenal, Hafiz Hamidun, sebagai Wajah Rasmi Pakej Haji 2026. Majlis pengumuman di Hotel Movenpick KLIA itu dihadiri wakil Tabung Haji, penggiat industri umrah dan haji serta rakan media, menandakan permulaan kepada fasa promosi dan pendaftaran jemaah yang hanya dibuka sehingga penghujung Disember ini.

Menurut Pengarah Urusan Jay Ibrahim Al Islam, Encik Muhammad Jay Ibrahim, pelantikan Hafiz bukan sekadar simbol promosi, tetapi sebahagian daripada usaha memperkukuh bimbingan spiritual kepada jemaah.“Kami melihat Hafiz Hamidun sebagai tokoh yang mampu membawa nilai keseimbangan antara ilmu agama, pengaruh positif dan pendekatan moden dalam mendekatkan generasi baharu kepada ibadah haji,” katanya.
Sebagai PJH berlesen, Jay Ibrahim Al Islam menawarkan pakej haji yang merangkumi bimbingan pra-haji intensif, khidmat mutawwif berpengalaman, penginapan selesa di Tanah Suci serta sokongan kebajikan dan kesihatan sepanjang perjalanan. Pendaftaran awal amat digalakkan bagi memastikan tempat serta penyediaan bimbingan berjalan lancar, memandangkan kuota yang terhad.
Mengulas tentang pelantikan itu, Hafiz menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan menyifatkannya sebagai tanggungjawab untuk menyebarkan kefahaman rohani tentang erti haji.“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberi. Ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tapi perjalanan jiwa yang menuntut hati yang bersedia, ilmu yang cukup dan niat yang benar,” ujarnya.
Dalam temubual bersama media, Hafiz turut menyentuh soal niat dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadah.“Kita tak tahu niat orang lain. Kalau seseorang berkongsi perjalanan hajinya di media sosial, belum tentu dia riak. Mungkin dia hanya mahu orang lain mendoakan. Kalau hati kita terasa tak senang melihat itu, maknanya hati kita yang perlu diperbaiki,” katanya sambil menekankan bahawa pandangan positif terhadap rezeki dan perjalanan orang lain adalah cerminan hati yang lembut.

Berkongsi maklumat semasa, Hafiz menjelaskan bahawa kuota jemaah haji Malaysia bagi tahun 2026 kekal sebanyak 31,000 orang. Namun, sebahagian akan digantikan dengan jemaah di bawah PJH apabila ada yang menolak atau tidak dapat berangkat kerana faktor kesihatan dan komitmen kerja.
“Kuota ini baru diagihkan oleh Tabung Haji, dan syarikat-syarikat PJH seperti Jay Ibrahim Al Islam perlu mengisi ruang yang ada. Pendaftaran dibuka mulai sekarang sehingga akhir Disember sahaja, jadi siapa yang berhasrat perlu daftar awal,” katanya.
Beliau turut menyeru bakal jemaah agar hanya memilih syarikat PJH berlesen bagi mengelak risiko ditipu oleh agensi tidak sah.“Kita membawa nama Malaysia. Negara kita antara yang paling tersusun dari segi pengurusan jemaah. Jadi pastikan kita pergi dengan syarikat yang diiktiraf oleh Tabung Haji,” tegasnya.
Hafiz pernah menunaikan haji pertama kali pada tahun 2016 melalui visa furada, dan kini bersedia kembali ke Tanah Suci di bawah bimbingan rasmi Tabung Haji dan PJH.
“Kalau dulu saya pergi dalam kumpulan kecil, sekarang saya mahu rasai sendiri pengalaman bersama jemaah di bawah sistem yang lebih teratur,” katanya.
Beliau turut menyedari syarat-syarat baharu yang lebih ketat daripada kerajaan Arab Saudi, termasuk penilaian kesihatan dan indeks BMI bagi memastikan jemaah benar-benar sihat serta mampu melaksanakan ibadah dengan baik.
“Sekarang bukan soal ada duit semata-mata, tapi soal kemampuan fizikal dan mental. Haji memerlukan tenaga dan kesabaran yang luar biasa,” tambahnya.
Menariknya, Hafiz menegaskan bahawa peranannya sebagai wajah rasmi bukan atas dasar komersial.“Saya tidak menerima bayaran. Saya buat ini kerana saya rasa tanggungjawab saya untuk membantu dan mendidik. Saya dah rakam lebih 30 episod podcast mengenai haji semuanya untuk memberi panduan kepada masyarakat. Ini amal jariah saya,” katanya.
Bagi Hafiz, ibadah haji menguji hati dan memperlihatkan sifat sebenar seseorang.
“Di Tanah Haram, perangai sebenar kita akan keluar. Kalau kita jenis marah, cepat beremosi, semua itu akan diuji di sana. Sebab itu sebelum berangkat, saya nasihatkan diri sendiri dan semua orang untuk banyak bertaubat, muhasabah diri dan bersihkan hati,” ujarnya.
Mengakhiri perbualan, Hafiz mengingatkan bahawa ibadah haji mengajar erti kesamarataan dan penyerahan mutlak kepada Allah.“Di Makkah, tak ada beza siapa kita. Semua pakai ihram yang sama, berdiri di tempat yang sama, menyebut nama Tuhan yang sama. Di situlah kita belajar makna sebenar rendah diri dan keikhlasan.”
Pelantikan Hafiz Hamidun sebagai Wajah Rasmi Pakej Haji 2026 bukan sekadar penghargaan terhadap figura seni Islamik, tetapi simbol kesinambungan antara dunia dakwah, pendidikan spiritual, dan pengurusan ibadah moden. Dengan niat yang jernih dan matlamat yang jelas, beliau membawa mesej bahawa ibadah haji bukan sekadar satu perjalanan tetapi penyucian jiwa yang menuntut keikhlasan, kesabaran dan hati yang benar-benar tunduk kepada Tuhan.



