Ilham melodi dari mimpi

- Advertisement -

RASA teruja dan takut menguasai diri penyanyi Fieya Julia apabila mendapat tahu syarikat rakaman Aries Music mengambil keputusan menjadikan lagu ciptaannya sebagai single baharunya.

Lagu Halusinasi ciptaannya itu dimuat naik di saluran YouTube Aries Music sejak 27 Ogos lalu dan sehingga kini mencecah tontonan lebih 118,738.

Fieya, 22, atau nama sebenarnya, Nur Syafiyah Sejali mengakui keputusan yang dibuat syarikat rakaman itu di luar dugaan kerana sebelum itu dia sering menghantar lagu ciptaannya, tapi tidak terpilih.

“Sebenarnya saya tak sangka lagu Halusinasi menjadi pilihan syarikat sebab sebelum ini pernah bagi lagu yang saya buat, tapi semuanya kena tolak dan tak terpilih. Mungkin material tak cukup bagus. Rasa teruja dan takut juga sebab sebelum ini saya nyanyi lagu ciptaan komposer profesional.

“Saya ini masih baharu dan tak pernah keluarkan single ciptaan sepenuhnya. Agak takut, mana tahu pendengar tak boleh terima lirik tulisan saya sebab masih belajar. Semua ini saya buat ikut idea sendiri. Rasa bersyukur pun ada juga,” katanya.

Sebelum ini Fieya melonjak menerusi lagu Perasaanku ciptaan Amir Hariz yang diterbitkan pada 2018 dan mendapat 45 juta tontonan di YouTube, malah lagu itu juga dipilih menjadi lagu tema drama Semua Salahku.

Menurut Fieya, lagu Halusinasi yang dihasilkan pada Ogos tahun lalu adalah berdasarkan kisah benar mengenai perasaannya ketika itu dan lirik disiapkan dalam tempoh sehari.

“Ketika menghasilkan lagu ini, saya alami situasi di mana sedang layan sendu. Inspirasi melodi lagu ini dari mimpi. Saya bangun dari tidur dan terus rekod melodi yang dapat dari mimpi dan ubah sikit dan jadi melodi Halusinasi.

“Sebenarnya, lagu ini menceritakan mengenai diri sendiri. Saya berkawan dengan seorang lelaki ini yang selalu ada untuk saya, tapi dia selalu juga menghilang. Dia akan ada masa saya sedih dan hilang masa saya sudah gembira. Lelaki ini hanya akan berada di sisi saya tatkala memerlukannya.

“Sebenarnya lelaki ini nak berada di sisi saya sebagai kawan, tapi saya tersalah anggap dan ingatkan dia layan sebab suka dan beri perhatian. Sebenarnya tak, dia ambil berat sebab dia hargai sebagai kawan dan mahu menjadi seperti kawan yang bermakna untuk saya,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya itu, Fieya menasihatkan orang lain supaya jangan cepat berharap atau meletakkan harapan pada seseorang yang mengambil berat mengenai diri kita.

Bercerita lanjut mengenai rakaman lagu Halusinasi, Fieya berkata, proses itu mengambil masa kurang lima jam.

“Ketika rakaman ada juga ‘feel’ yang tak sampai, tapi dibantu oleh orang yang buat gubahan lagu ini dan abang Wan Saleh juga. Cara saya nak menjiwai lagu ini, selalunya setiap lagu yang saya nyanyi, saya akan letakkan diri dalam situasi lagu berkenaan supaya dapat ‘feel’ sedih serta gembira dan senang untuk menjiwai lagu itu.

“Halusinasi adalah single keempat saya yang bergenre balada. Kalau boleh, biar orang kenali saya sebagai penyanyi balada sebab belum puas lagi kerana tak ramai lagi yang mengenali saya sebagai penyanyi lagu balada. Sekarang ini ramai yang ingat saya penyanyi lagu rock sebab banyak buat ‘cover song’ genre begitu.

“Ada juga yang tahu lagu saya, tapi tak tahu penyanyi. Belum puas hati dalam industri muzik ini, saya nak orang kenal saya sebagai penyanyi balada. Bila rasa puas hati baru cuba genre lain. Mungkin ramai yang bosan sebab saya asyik nyanyikan lagu balada, tapi setakat ini ilham memang ke arah balada saja. Belum dapat ilham untuk buat lagu ‘catchy’, insya-Allah saya akan cuba buat genre lain,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat