MTUC akan adakan piket bantah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja Perkeso

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan menganjurkan piket di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara sebagai bantahan ke atas pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), serta caruman tambahan yang dikenakan terhadap pekerja.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata piket itu diadakan untuk mendesak Perkeso melibatkan wakil pekerja dalam perbincangan dan menghentikan caruman tambahan.

“MTUC mengecam Perkeso yang mengenakan caruman tambahan kepada pekerja sebanyak 0.75 peratus daripada gaji.

“Ini bermakna RM12.75 bagi pekerja yang bergaji minima RM1700,” katanya dalanm satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau caruman tambahan adalah satu bentuk penindasan.

“MTUC akan mengadakan piket di seluruh pejabat Perkeso bagi mendesak Perkeso mengadakan perbincangan dan tidak mengutip duit tambahan daripada pekerja.

“MTUC mahu perbincangan di adakan segera bagi membincangkan kadar caruman pekerja dan kadar caruman majikan,” katanya lagi.

Tiada tarikh dinyatakan bagi piket atau perbincangan berkenaan.

Di bawah SKBBK, pekerja perlu mencarum 0.75 peratus dari gaji mereka sepanjang dua tahun pelaksanaannya, dengan caruman ditanggung sepenuhnya oleh pekerja.

Kadar itu dijadualkan meningkat kepada satu peratus bagi tiga tahun berikutnya dan 1.25 peratus mulai tahun keenam.

Skim yang berkuat kuasa pada 1 Jun itu menyediakan perlindungan Perkeso selama 24 jam bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Skim itu pada mulanya diperkenalkan secara wajib, tetapi kabinet mengubah dasar berkenaan pada 8 Julai susulan maklum balas orang ramai, dengan penyertaan dijadikan sukarela bagi pekerja tempatan manakala perlindungan bagi pekerja asing kekal diwajibkan.

Kamarul berkata kadar 0.75 peratus bersamaan RM12.75 sebulan bagi pekerja yang menerima gaji minimum RM1,700.

“Kenapa Perkeso terlalu menekan menindas tanpa mengadakan perbincangan dengan pertubuhan pekerja,” katanya.

Beliau menyifatkan bayaran tambahan itu sebagai beban tidak adil terhadap pekerja yang sudah bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, selain mempersoalkan keputusan kerajaan menjadikan skim itu sukarela selepas pada awalnya mewajibkannya.

Kamarul turut mendakwa usaha MTUC sebelum ini untuk membincangkan skim itu dengan pihak berkuasa tidak diendahkan.

“Beberapa surat telah di hantar ke Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) bagi membincangkan skim ini tetapi malangnya Perkeso tidak peduli.

“Majlis Am (MTUC) telah memutuskan piket di buat untuk membantah cara SKBBK di laksanakan,” katanya.

 

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat