Azizulhasni terima tawaran teruskan misi LA28, KBS akui kelemahan komunikasi

PUTRAJAYA — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengakui berlaku kelemahan dari aspek komunikasi berhubung status Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keadaan itu menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk memperkemas penyampaian maklumat, khususnya antara kementerian, Majlis Sukan Negara (MSN), persatuan sukan dan atlet.

Menurut beliau, komunikasi yang jelas penting bagi memastikan tidak berlaku salah faham berhubung perancangan serta hala tuju atlet negara.

Katanya, keputusan untuk membolehkan Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 sebenarnya sudah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Mohammed Taufiq meminta MSN meneliti kedudukan serta perancangan terhadap pelumba berusia 38 tahun berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat kelewatan dan kekurangan dalam proses penyampaian keputusan berkenaan kepada Azizulhasni.

“Jika ada communication breakdown atau kesilapan dari segi komunikasi, kita mengambil tanggungjawab tersebut dan ingin memastikan perkara sebegini tidak berulang.

“Komunikasi yang baik daripada MSN, atlet dan persatuan adalah sangat penting supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata surat tawaran untuk meneruskan misi ke LA28 telah diserahkan kepada Azizulhasni dua hari lalu, sebelum KBS menerima maklum balas daripada atlet itu pada malam sebelumnya.

Mohammed Taufiq mengesahkan Azizulhasni menerima tawaran berkenaan dan bersedia meneruskan khidmatnya bersama pasukan kebangsaan dalam usaha memburu kejayaan di pentas Olimpik LA28.

Menurutnya, selepas isu berkenaan diselesaikan, perhatian kini perlu diberikan kepada persiapan serta sokongan yang diperlukan oleh atlet berkenaan.

“Perkara ini telah selesai. Sekarang masalahnya apakah langkah seterusnya yang perlu kita ambil? Itu sekarang kita perlu optimis dan berfikiran ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata KBS akan mengadakan perbincangan bersama Azizulhasni, MSN, persatuan berkaitan dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi melihat keperluan atlet berkenaan menjelang LA28.

Beliau turut memaklumkan bahawa sesi pertemuan secara berkala termasuk town hall bersama atlet akan diperkasakan bagi membolehkan sebarang isu dibawa terus untuk tindakan dan penyelesaian.

Perkembangan itu susulan hantaran Azizulhasni di Instagram Jumaat lalu yang menjelaskan mengenai perjalanan proses kelayakan LA28 serta hala tuju kariernya dalam sukan berbasikal trek.

Dalam perkongsian tersebut, beliau turut mendapatkan kepastian daripada KBS dan MSN mengenai kedudukannya serta sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi menghadapi misi ke Los Angeles.

MSN kemudian tampil memberi penjelasan sehari selepas itu dengan menafikan bahawa pihaknya mengenepikan perancangan atau tidak menghargai jasa Azizulhasni, malah menegaskan sokongan terhadap The Pocket Rocketman terus diberikan dalam persiapan menghadapi LA28.

Perkara itu akhirnya terjawab apabila Azizulhasni menerusi video yang dikongsikan malam tadi mengesahkan beliau telah menerima surat tawaran untuk meneruskan misi bersama skuad negara ke Sukan Olimpik LA28.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat