Kerajaan Madani Perlu Lebih Terbuka Terima Kritikan Rakyat – Zuraida

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kerajaan haruslah bersifat terbuka dalam menerima kritikan dan tidak perlu terlalu takut dengan rakyat, demikian pandangan dikemukakan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) turut mengingatkan pemimpin kerajaan dan ahli politik bahawa kuasa yang dipegang itu datangnya daripada rakyat.

“Baru-baru ini, heboh diperkatakan tentang cara atau kaedah dalam menangani kritikan atau teguran daripada rakyat Malaysia oleh pihak kerajaan, yang kelihatan terlalu mengongkong sehingga menggugat kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

“Dua isu utama yang sedang rancak dibicarakan oleh netizen adalah mengenai kenyataan Menteri Komunikasi Digital (KKD) yang mengugut para pengkritik kerajaan bahawa rumah mereka juga boleh “diziarahi” pihak PDRM sekiranya mereka terus bersuara dan isu sekatan terhadap sebuah portal berita yang sering memaparkan pandangan alternatif berkenaan situasi semasa negara.

“Seperti yang diketahui umum, saya juga pernah menjadi sebahagian daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga bersama-sama Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pada tahun 2018 dahulu.

“Sudah tentu saya amat memahami posisi PKR dan PH yang sepatutnya memperjuangkan hak kebebasan bersuara rakyat, selagi mereka tidak melanggar apa-apa undang-undang atau peraturan yang telah ditetapkan,” katanya, menerusi satu kenyataan media, semalam.

Zuraida mengakui beliau sendiri pernah berhadapan dengan pelbagai kritikan oleh masyarakat semasa menjawat jawatan Menteri KPKT dan KPPK, yang disifatkannya sebagai kaedah menilai diri.

“Sudah tentu, kritikan yang diberikan ada yang membina dan ada juga penghinaan yang tidak berasas semata-mata, namun tidak pernah sekalipun saya mengambil tindakan terhadap mana-mana komen yang dilemparkan ke atas diri saya.

“Malah, saya ketika itu sebagai seorang wakil rakyat menganggap kritikan yang datang dari rakyat adalah antara kaedah untuk menilai diri kita sendiri sebagai pemimpin.

“Dalam sebuah negara demokrasi, kerajaan haruslah bersifat terbuka dan tidak perlu terlalu takut dengan rakyat. Ingatlah, kuasa yang dipegang oleh kita datangnya dari rakyat.

“Tetapi, pada ketika ini pemimpin Pakatan Harapan seolah-olah telah melupakan tujuan utama perjuangan gabungan parti itu, iaitu untuk memartabatkan demokrasi dan sepatutnya berusha untuk membantu rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Adalah menjadi suatu kebobrokan yang amat merugikan negara apabila Menteri KKD sendiri yang datangnya daripada PKR mengeluarkan kenyataan akan menggunakan penguatkuasa untuk menyekat suara rakyat.

“Mungkin Fahmi Fadzil terlalu muda untuk mengingati tragedi-tragedi yang berlaku kepada para pejuang reformasi yang mana akibat daripada kelantangan suara mereka, pihak kerajaan suatu ketika dahulu telah menggunakan penguatkuasa untuk membuli dan menganggu rakyat yang menegur kepimpinan negara,” ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau berpesan kepada Fahmi Fadzil dan seluruh pemimpin “Kerajaan Madani” supaya mereka perlu sedar khidmat mereka sebagai pemimpin adalah untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya hanya untuk penyokong mereka sahaja.

“Kata-kata rakyat adalah kata-kata keramat yang perlu sentiasa kita hormati, walaupun kadangkala pahit untuk kita terima.

“Dalam menangani kritikan, pemimpin PH khususnya YB Menteri KKD harus bersifat matang dan bukannya bersifat keanak- anakan dalam berhadapan dengan komentar daripada rakyat.

“Ugutan dan tindakan bersifat draconian tidak wajar dilakukan terhadap rakyat yang hanya mahukan pemimpin negara untuk mendengar keluhan dan rintihan mereka,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat