Laluan pendaki tegar

- Advertisement -

GUNUNG Kinabalu, Sabah terkenal dengan kekayaan kepelbagaian flora dan fauna sehingga berjaya menarik kehadiran ramai pelancong di dalam serta luar negara.

Di gunung ini juga terdapat satu laluan dikenali sebagai Via Ferrata yang menjadi laluan pendakian pertama dibina di Asia dan diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai yang tertinggi di dunia.

Biarpun sudah lima kali menawan puncak Gunung Kinabalu, penulis yang berasal dari Sabah berasa tidak lengkap apabila belum berkesempatan melakukan aktiviti Via Ferrata.

Bagi pendakian (Gunung Kinabalu) kali keenam pada Februari 2020, penulis nekad mencabar diri mencuba sesuatu yang baru dengan melakukan aktiviti itu.

Via Ferrata ini mempunyai dua pilihan laluan iaitu Walk The Torq dan Low’s Peak Circuit (LPC) yang merangkumi beberapa siri anak tangga besi, rel besi dan kabel yang melekat pada permukaan batu.

Titik tertinggi bermula pada lokasi ketinggian 3,400 meter dari paras laut (mdpl) dan berakhir pada 3,800 mdpl memberi peluang kepada pendaki menikmati keindahan pemandangan gunung dari pelbagai sudut berbeza.

 

MEMULAKAN pendakian ke Lemaing Hostel.
MEMULAKAN pendakian ke Lemaing Hostel.

 

Ini antara trek paling mencabar dan dua bulan sebelum pendakian, penulis membuat persiapan fizikal termasuk melakukan aktiviti mendaki menerusi anak tangga bagi mendapatkan stamina yang mencukupi.

Pada hari pertama, penulis bersama 15 pendaki lain memulakan pendakian seawal 9.30 pagi dari Timpohon Gate untuk bermalam di Lemaing Hostel.

Bagi anda yang ingin melakukan pendakian di Via Ferrata, pendaki perlu sampai ke Panalaban sebelum 4 petang bagi mengikuti taklimat dari Mountain Torq.

Sebaik tiba di Panalaban, penulis bergegas ke Pendant Hut iaitu pejabat Via Ferrata untuk melakukan pendaftaran dan mengikuti taklimat yang bermula 4.30 petang setiap hari.

Penulis yang ketika itu berseorangan melakukan aktiviti lasak ini memutuskan untuk mengambil laluan kedua iaitu LPC yang juga laluan terpanjang sejauh 1.2 kilometer yang memerlukan masa empat hingga enam jam.

 

VIA Ferrata lambai 'kaki gunung' ke puncak Kinabalu untuk menyaksikan keindahan Sabah dari sisi berbeza.
VIA Ferrata lambai ‘kaki gunung’ ke puncak Kinabalu untuk menyaksikan keindahan Sabah dari sisi berbeza.

 

Laluan ini direka dengan teliti, sesuai untuk mereka yang memiliki tahap kecergasan tinggi. Via Ferrata ini sangat mencabar dan sesuai untuk pendaki yang ingin mencabar diri dan ingin mengatasi perasaan takut terhadap ketinggian.

Ketika sesi taklimat, pendaki diberi tunjuk ajar dan latihan menggunakan ‘lanyard,’ pencangkut ‘Scorpio’ dan pengenalan titik-titik permulaan serta perhentian aktiviti.

Selepas selesai sesi taklimat, penulis kembali ke restoran di Laban Rata untuk makan malam bersama pasukan. Sebelum tidur, penulis dan pendaki lain sempat menikmati pemandangan senja dari Panalaban yang cukup menakjubkan.

Keesokan hari, tepat 1 pagi kami semua sudah bangun dan bersiap untuk meneruskan misi seterusnya.

Seramai 14 pendaki akan meneruskan pendakian mereka ke puncak Gunung Kinabalu manakala penulis berseorangan meneruskan misi ke Via Ferrata Low’s Peak Circuit.

 

RASAI pengalaman melalui tali besi.
RASAI pengalaman melalui tali besi.

 

Pendakian hari kedua ini agak mencabar kerana banyak anak tangga yang perlu kami lalui sebelum sampai di Sayat-Sayat sejam kemudian.

Penulis berehat di sini dan tidak akan meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu kerana ingin menyimpan tenaga untuk melakukan aktiviti yang sememangnya lebih mencabar.

Selain itu, penulis ingin menikmati keindahan pemandangan matahari terbit dari sudut yang berbeza dari pendakian sebelum ini.

Pada 6.35 pagi, penulis bergerak ke tempat pemeriksaan Via Ferrata dan tiba 15 minit kemudian. Pelatih, Severinus yang bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan penulis sudah sedia menunggu.

Sebelum memulakan aktiviti Via Ferrata, Severinus memberi sedikit penerangan dan memasangkan alat keselamatan.

 

MENIKMATI keindahan matahari terbenam di Panalaban.
MENIKMATI keindahan matahari terbenam di Panalaban.

 

Ketika menuruni Low’s Peak, penulis menempuhi lencongan dikenali ‘Low’s Peak Circuit’ untuk menyaksikan panorama indah dari sudut yang tersembunyi di dataran tinggi pergunungan itu.

Selain itu, penulis juga berpeluang berjalan menerusi jambatan tangga sepanjang 22 meter tergantung pada ketinggian 3,600 meter mdpl.

Penulis berjaya melalui Via Ferrata Low’s Peak Circuit ini dalam masa tiga jam. Masa yang singkat ini mungkin kerana bilangan yang kecil.

Pihak Mountain Torq menyediakan makanan untuk penulis dan selepas berehat seketika, penulis bergerak turun ke Timpohon Gate dan sampai di pejabat Taman Negara Gunung Kinabalu hampir 4.30 petang.

Pendakian kali ini memberi sisi pengembaraan berbeza dengan pemandangan unik tidak dapat dinikmati pada laluan mendaki yang biasa.

 

TERUJA melihat awan karpet.
TERUJA melihat awan karpet.

 

Melihat ciptaan Tuhan yang terbentang luas dan indah ini mengajar penulis makna bersyukur serta merendah diri kerana sesungguhnya manusia kelihatan amat kerdil apabila berada di atas gunung.

Keinginan penulis untuk mengeksplorasi Gunung Kinabalu tidak berakhir di sini dan jika diberi peluang, penulis berhasrat untuk kembali ke situ lagi!

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat