Pelaksanaan tak selari dengan Pusat punca Tengku Zafrul lepas jawatan Bendahari Umno Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor berkuat-kuasa hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu membuat keputusan melepaskan jawatan itu kerana tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan kepada Umno Selangor.

“Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat.

“Pendekatan dan prinsip saya mudah: kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan.

“Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.

“Justeru itu, berkuatkuasa hari ini, saya meletakkan jawatan selaku Bendahari Umno Selangor.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan ini. Saya akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua Umno Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dipilih,” jelas Tengku Zafrul di Facebooknya pada Isnin.

Mengulas lanjut, sewaktu beliau dipilih sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dari Selangor dan dilantik selaku Bendahari Umno Selangor lebih setahun dahulu, beliau telah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan Umno di negeri Selangor.

Hal ini katanya, Selangor ialah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.

“Demografinya yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas. Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti.

“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor – parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan.

“Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa. Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap – diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” katanya.

Bukan itu sahaja, kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah Umno terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

“Begitu banyak bergantung kepada sikap dan pendekatan kepimpinan Umno negeri.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden Umno dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.

“Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah.

“Saya sentiasa mendoakan agar Allah SWT merestui perjuangan hakiki kita bersama dan semoga Umno khususnya Umno Selangor bertapak kembali di hati rakyat Negeri ini, Insya-Allah.

“Semoga Umno kembali ke persada politik tanah air demi Agama, Bangsa dan Negara. Dulu, Kini dan Selamanya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat